BERITA SEMASA

Doakan kami kuat’ – Mangsa letupan paip gas

PUCHONG – “Saya ingat ada puting beliung.”

Itulah kata-kata yang terpacul dari mulut Aziah Puteh Azib, 55, saat menggambarkan detik cemas kejadian letupan paip gas yang menggegarkan kawasan kediamannya di Lot 7, Kampung Kuala Sungai Baru, di sini pada 1 April lalu.

Aziah Puteh Azib

Menurut Setiausaha Hakim di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur itu, dia berada di rumah sewaktu kejadian berlaku.

Bunyi kuat dan gegaran hebat membuatkan beliau menyangka bencana alam seperti puting beliung sedang melanda.

“Saya terus hubungi suami yang telah keluar dan dia meminta saya azan,” katanya dengan suara yang masih bergetar mengingatkan saat mencemaskan itu.

Jelasnya lagi, letupan tersebut menyebabkan batu-batu kecil berwarna oren panas terpelanting ke dalam rumahnya.

Selain itu, bumbung habis ranap, papan rumah tercabut dan railing langsir jatuh serta pecah.

Keadaan di sekitar Kampung Kuala Sungai Baru selepas letupan berlaku.

Di luar rumah, lori milik adiknya terbakar, tong sampah mencair, malah gazebo rumah jiran turut dijilat api.

Letupan berhenti seketika sebelum dua orang anak buahnya, salah seorang pelajar tingkatan empat, tiba dan mengajaknya lari menyelamatkan diri.

“Saya sempat capai beg dan selipar. Tapi mereka lari dengan berkaki ayam sebab selipar dah cair,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Aziah turut menyedari lehernya terasa panas seakan terkena ekzos motor.

“Macam kena sembur api,” ujarnya.

Antara rumah penduduk yang terjejas teruk di kampung tersebut.

Tambah Aziah, antara kerosakan paling teruk ialah sebuah kereta Toyota Vios yang musnah akibat kesan letupan tersebut.

Namun beliau sendiri tidak tahu nilai kerugian yang dialami.

“Saya tak tahu nak cakap, sebelum ini pun kami baru ditimpa musibah banjir. Tapi saya anggap ini semua ada hikmah.

“Mungkin ada hadiah lebih besar yang Allah nak bagi. Saya reda dengan apa yang berlaku,” luahnya tenang.

Buat masa ini, Aziah menumpang di rumah sepupunya.

Baru-baru ini, dia menerima rawatan di Hospital Cyberjaya akibat masalah kesihatan yang dialami.

Malah, tahun lalu, dia juga terlibat dalam kemalangan jalan raya berhampiran Tol Jalan Duta.

Satu demi satu ujian yang berlaku pada Aziah diibaratkan seperti jatuh ditimpa tangga.

Bagaimanapun, wanita itu tetap tabah meneruskan kehidupan.

“Doakan kami terus kuat. Bukan mudah, tapi saya percaya Allah pasti ada perancangan yang jauh lebih baik buat kami,” kata Aziah penuh pengharapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button