Mangsa letupan gas memasak di Pagoh meninggal dunia selepas 4 hari di ICU
MUAR – Seorang lelaki yang cedera parah akibat letupan gas memasak di Pagoh menghembuskan nafas terakhir selepas empat hari menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) hospital.
Mangsa, Fauzisham Darwis, 51, disahkan meninggal dunia pada pukul 12.15 tengah hari tadi akibat kecederaan parah serta melecur sehingga 60 peratus pada bahagian badan.
Allahyarham yang bekerja sebagai pekerja pembersihan dimasukkan ke ICU Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) sejak malam kejadian pada Khamis lalu.
Berita pemergian Fauzisham dimaklumkan oleh rakan karibnya, Hanafi Taib, 51, yang memberitahu keadaan mangsa kritikal sejak hari pertama kejadian.
“Arwah mengalami kecederaan parah dan dirawat di ICU sejak malam Khamis. Balutan pada badannya dijangka dibuka dalam masa terdekat, namun kami tidak menyangka ia berakhir dengan berita sedih,” katanya memetik laporan BH Online.
Menurut Hanafi, jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Terus Panchor, di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kematian mangsa dan siasatan dijalankan sebagai kes mati mengejut.
Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, Fauzisham dipercayai mengalami kecederaan melecur teruk selepas gas memasak yang disyaki bocor meletup di rumahnya di Taman Pagoh Jaya.
Ketika kejadian, mangsa dipercayai bersendirian di rumah manakala isterinya keluar membeli barangan keperluan di sekitar kawasan berkenaan.
Akibat letupan tersebut, mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di luar rumah dengan kesan melecur pada muka dan hampir keseluruhan badannya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


