Cukai karbon tidak jejas pelabur – PM
PARIS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa cadangan pelaksanaan cukai karbon yang sedang dimuktamadkan kerajaan tidak akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Malaysia.
Beliau berkata, meskipun trend penyahkarbonan menjadi perhatian global, pendekatan Malaysia dalam memperkenalkan cukai karbon dilakukan secara berhati-hati dan berperingkat.
“Cukai karbon yang dicadangkan tidak sepatutnya dilihat sebagai satu halangan besar yang boleh menjejaskan pelaburan.
“Kita perlu bersikap realistik dan teliti dalam pelaksanaannya,” katanya dalam sesi soal jawab semasa Mesyuarat Meja Bulat bersama Pemimpin Industri di Paris, semalam.
Turut hadir dalam sesi itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Anwar yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Perancis, menjelaskan cukai karbon dijangka diperkenalkan pada 2026, dengan tumpuan awal diberikan kepada sektor-sektor utama penyumbang pelepasan karbon seperti industri besi, keluli dan tenaga.
“Ia sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan untuk menggalakkan penggunaan teknologi rendah karbon dan mencapai sasaran pengurangan pelepasan karbon,” katanya lagi.
Menurut Anwar, meskipun industri minyak sawit penting untuk negara, kerajaan telah menghentikan pembukaan ladang baharu di tanah gambut kerana pelepasan karbon yang tinggi.
Dalam sesi yang sama, pemimpin industri memuji usaha kerajaan menyediakan iklim pelaburan yang kondusif di Malaysia.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut menyentuh tentang peningkatan ketara jumlah pelancong dari Perancis ke Malaysia.
“Kita kini ada penerbangan terus dari Paris. Anda boleh berenang sepanjang tahun di negara kami kerana iklim panas lembap,” selorohnya sambil merujuk kepada laluan Kuala Lumpur–Paris yang diperkenalkan oleh Malaysia Airlines baru-baru ini.
Beliau turut memberi jaminan kepada pelabur Perancis bahawa Malaysia dan rantau ASEAN kekal sebagai antara destinasi pelaburan paling dinamik dan berkembang pesat di dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
