Bukan waktu berehat, PM guna masa ketika di udara buat persiapan sempena Sidang Kemuncak BRICS
KUALA LUMPUR – Ketika terdapat segelintir pihak yang memandang sinis lawatan kerja Datuk Seri Anwar Ibrahim ke luar negara, Perdana Menteri tidak melatah sebaliknya terus menunjukkan komitmen luar biasanya.
Meskipun sedang berada di dalam pesawat untuk menghadiri Sidang Kemuncak BRICS di Rio, Brazil, Perdana Menteri tetap bersungguh membuat persiapan rapi sebelum membuat ucapan penting.
Berkongsi dalam laman media sosial, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, meskipun anggota delegasi lain yang mengiringi beliau kepenatan, Perdana Menteri tetap tekun meneliti nota dan bersiap untuk ucapan penting di Sidang Kemuncak BRICS.
“Saya melihat sendiri kesungguhan PM Anwar Ibrahim yang ingin melonjak negara dengan caranya tersendiri.
“Di kala staf lain yang kepenatan dan saat pesawat sedang membelah ruang udara membawa delegasi Malaysia dari Paris, Perancis ke Rio, Brazil, beliau masih tekun meneliti nota dan bersiap untuk ucapan penting di Sidang Kemuncak BRICS yang dijadualkan akan berlangsung di Rio.
“Ini bukan rutin biasa beliau. Ia adalah cerminan usaha dan kesungguhan beliau untuk memastikan Malaysia bersedia di semua pentas dunia, termasuk BRICS, bagi memanfaatkan setiap peluang demi kemajuan dan kesejahteraan negara.
“Tidak ada ruang untuk bersantai and that has always been his style and rhythm. Following him is not for the faint-hearted,” katanya hari ini.
Katanya, meskipun terdapat suara sumbang yang mempertikaikan usaha Perdana Menteri itu, ia sedikit pun tidak melemahkan semangat beliau untuk mengangkat nama Malaysia ke tahap lebih baik.
“Saya percaya tanpa pengorbanan seberat ini, negara akan terus berada di takuk lama dan sudah tentu akan timbul suara-suara sumbang yang pelbagai, namun ia tidak sedikit menggoncang keazaman dan iltizam beliau untuk negara.
“Beliau percaya di kala dunia yang semakin mencabar dan bergelora, Malaysia mesti bergerak ke hadapan dan berpaut pada asas yang kukuh agar kita terus teguh dan tidak ditinggalkan.
“Saya mohon doa yang ikhlas dari semua agar PM terus diberi kekuatan dan kesihatan yang berpanjangan agar beliau terus pikuk amanah berat ini demi membangun sebuah Malaysia yang cekal, berketerampilan dan MADANI,” katanya.
Perdana Menteri dalam lawatan rasmi ke tiga pusat ekonomi dunia iaitu Itali, Perancis dan Brazil selama tujuh hari bermula 1 Julai lalu bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang perdagangan, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan.
Ketiga-tiga negara terbabit merupakan rakan dagang penting Malaysia, dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM50.91 bilion (AS$11.14 bilion) tahun lalu, sekali gus membuka potensi besar untuk pertumbuhan sektor teknologi dan inovasi.
Dari Perancis, Anwar akan meneruskan perjalanan ke Rio de Janeiro, Brazil, bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 atas jemputan Presiden Luiz Inácio Lula da Silva.
Katanya, kehadiran Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS dan Pengerusi ASEAN 2025 akan menekankan kepentingan multi-lateralisme berasaskan undang-undang, tadbir urus kecerdasan buatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








