BERITA SEMASADALAM NEGERI

Bom lama 227 kilogram masih aktif ditemukan di Bemban

JASIN – Penemuan sebutir bom lama disyaki peninggalan Perang Dunia Kedua menggemparkan kawasan tapak projek Golden Valley di Kampung Air Panas, Bemban, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, bom seberat 227 kilogram yang masih aktif itu ditemui oleh seorang pekerja kontrak berusia 52 tahun ketika menjalankan kerja pengorekan tanah di tapak projek berkenaan.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung penemuan objek disyaki bom itu pada pukul 3 petang melalui Bilik Gerakan (DCC) Jasin.

“Hasil pemeriksaan dan siasatan oleh Unit Persenjataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin mengesahkan objek berkenaan adalah bom lama jenis ‘aerial bomb’ seberat 227 kilogram.

“Bom berkenaan mempunyai ukur lilit antara 27 hingga 36 sentimeter dengan panjang kira-kira 45 inci dan didapati masih aktif walaupun berada dalam keadaan berkarat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, bom tersebut dijadual akan dimusnahkan pagi ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan orang awam serta kawasan sekitar.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan penemuan bom berkenaan yang boleh menimbulkan kegusaran awam dan menjejaskan ketenteraman.

“Kerjasama penduduk setempat amat diperlukan sepanjang proses pemusnahan dijalankan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button