LUAR NEGARA

BMW panggil balik 575,000 kenderaan susulan kerosakan teknikal suis elektrik

MUNICH – Pengeluar kenderaan mewah, BMW mengumumkan panggilan balik ratusan ribu kenderaan di seluruh dunia susulan kerosakan teknikal yang berpotensi menyebabkan kebakaran ketika kenderaan sedang digunakan.

Menurut laporan Agensi Berita Jerman (dpa), sebanyak 28,582 kenderaan terjejas di Jerman sahaja.

Bagaimanapun, BMW tidak memperincikan jumlah keseluruhan unit yang terlibat di peringkat global.

Media industri automotif Jerman, kfz-Betrieb melaporkan kira-kira 575,000 kenderaan di seluruh dunia mungkin terbabit dalam panggilan balik berkenaan.

BMW memaklumkan pemeriksaan produk mendapati terdapat kecacatan pada suis solenoid yang berfungsi mengawal aliran elektrik dalam litar.

Selepas kerap dihidupkan, komponen itu boleh mengalami kehausan berlebihan sehingga menyukarkan atau menghalang enjin daripada dihidupkan.

Lebih membimbangkan, kerosakan tersebut berpotensi menyebabkan litar pintas sekali gus mengakibatkan pemula enjin menjadi terlalu panas secara setempat dan dalam situasi paling buruk boleh mencetuskan kebakaran ketika kenderaan sedang beroperasi.

Dalam keadaan sedemikian, pemandu mungkin menyedari kehadiran asap ketika memandu atau selepas meninggalkan kenderaan.

BMW turut menasihatkan supaya enjin tidak dibiarkan hidup tanpa pengawasan sebagai langkah berjaga-jaga.

Antara model yang terjejas termasuk BMW Siri 2 Coupe, beberapa varian Siri 3, Siri 4 dan Siri 5, Siri 6 Gran Turismo, sedan Siri 7 serta model X4, X5, X6 dan Z4.

Kenderaan yang dilengkapi suis kawalan (starter relay) yang dihasilkan antara Julai 2020 hingga Julai 2022 itu dikenal pasti berpotensi terjejas.

Selain itu, kereta yang dipasang dengan alat berkenaan semasa kerja pembaikan juga termasuk dalam senarai panggilan balik.

BMW sebelum ini turut melaksanakan panggilan balik membabitkan ratusan ribu kenderaan pada September lalu susulan risiko kebakaran berpunca daripada pemula yang rosak.

Siasatan terdahulu mendapati dalam beberapa kes, air meresap masuk ke dalam motor pemula pada bahagian tertentu kenderaan, menyebabkan kakisan dan meningkatkan risiko kerosakan serius.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button