BERITA SEMASALUAR NEGARA

Trump beri amaran keras kepada Russia, ancam sekatan baharu

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) memberi isyarat keras kepada Russia apabila Presidennya, Donald Trump memberi tempoh 50 hari kepada Moscow untuk menamatkan konflik bersenjata di Ukraine atau berdepan tindakan sekatan ekonomi baharu yang lebih berat.

Amaran itu dibuat dalam satu mesyuarat di Washington bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte, semalam.

Trump turut mendedahkan perancangan menyalurkan bantuan ketenteraan tambahan kepada Kyiv melalui kerjasama pertahanan dengan NATO, termasuk penghantaran bateri antipeluru berpandu Patriot.

Presiden AS itu dengan nada tegas menyatakan beliau tidak lagi sabar dengan pendirian Presiden Russia, Vladimir Putin yang terus enggan menamatkan pencerobohan terhadap Ukraine yang kini memasuki tahun ketiga.

“Kami akan mengenakan tarif sangat tinggi jika tiada persetujuan dicapai dalam tempoh 50 hari, sekitar 100 peratus,” katanya memetik laporan AFP.

Baca juga : Reputasi Trump tercalar, rakaman ugutan bom Russia tersebar

Trump menambah, tarif tersebut turut disasarkan kepada negara-negara yang menjalankan perdagangan dengan Russia.

Trump, yang juga tokoh utama Parti Republikan, berkata, langkah itu bertujuan melumpuhkan keupayaan ekonomi Moscow daripada terus bertahan menghadapi sekatan sedia ada oleh Barat.

Dalam pertemuan tersebut, Trump dan Rutte turut mengumumkan satu perjanjian pertahanan baharu yang membabitkan pembelian senjata bernilai berbilion dolar oleh NATO daripada Amerika Syarikat. Senjata tersebut akan dihantar ke Ukraine dalam masa terdekat.

Rutte menjelaskan bahawa AS telah membelanjakan dana lebih besar berbanding negara sekutu Eropah dalam usaha membantu Ukraine. Antara negara yang turut memberi bantuan ketenteraan ialah Jerman, Kanada, Denmark, Finland, Belanda, Norway, Sweden dan Britain.

“Jika saya adalah Vladimir Putin hari ini, saya akan mempertimbangkan semula pendekatan yang digunakan dan memandang serius rundingan berkaitan Ukraine,” katanya.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, mengesahkan telah berhubung dengan Trump dan menyampaikan penghargaan atas bantuan senjata yang diumumkan.

Canselor Jerman, Friedrich Merz pula menyatakan bahawa Berlin akan memainkan peranan penting dalam pelaksanaan rancangan ketenteraan tersebut.

Namun begitu, Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas menyuarakan kebimbangan terhadap tempoh ultimatum yang diberikan oleh Trump.

“Lima puluh hari adalah terlalu lama jika kita melihat rakyat awam yang tidak bersalah terus menjadi mangsa setiap hari,” katanya.

Trump yang kini dalam penggal kedua pentadbirannya, sebelum ini berikrar untuk menamatkan perang Ukraine dalam tempoh 24 jam sebagai antara janji utama kempen pilihan rayanya.

Beliau juga dilaporkan sedang berusaha menjalin semula hubungan diplomatik dengan Kremlin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button