BERITA SEMASA

Thailand setuju maklum awal pelepasan air empangan, elak banjir di Kelantan – TPM Zahid

GENEVA – Thailand bersetuju untuk memaklumkan kepada Malaysia tiga hingga empat hari lebih awal sebelum sebarang pelepasan air dari empangan dilakukan, bagi mengelakkan kejadian banjir di kawasan sempadan, khususnya di Kelantan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan pertemuan dua hala beliau bersama rakan sejawatnya, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Thailand, Tuan Yang Terutama Anutin Charnvirakul.

Pertemuan itu diadakan di sela-sela Persidangan Sidang Kelapan Global Platform for Disaster Risk Reduction di Geneva hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, impak limpahan air luar biasa dari Sungai Golok sebelum ini telah menyebabkan kerosakan benteng dan peningkatan paras air di jajaran Kelantan, berikutan projek tebatan banjir yang telah siap di sebelah Thailand.

“Sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut yang diramal bermula November ini, saya mencadangkan agar pelepasan air dari Thailand dimaklumkan lebih awal kepada Malaysia. Syukur, cadangan ini telah diterima dan dipersetujui oleh pihak Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga : Malaysia-Thailand perkukuh kerjasama pertanian, MoU RM17 juta dimeterai

Ahmad Zahid berkata, satu mekanisme pemakluman awal akan diwujudkan demi keselamatan dan kebajikan rakyat kedua-dua negara, selain membantu persediaan pihak berkuasa dalam mengurus potensi bencana.

Dalam pertemuan itu juga, beliau menyambut baik pemeteraian perjanjian bagi projek pembinaan jambatan kedua Rantau Panjang–Sungai Golok serta pelaksanaan kerja-kerja mendalamkan muara Sungai Golok dan pembinaan benteng sungai yang dijadual bermula Oktober ini.

“Keseluruhan langkah ini mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana dan keselamatan sempadan,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button