BERITA SEMASAPMX

SSLR2 lonjak pembangunan Sarawak, Sabah

LIMBANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Projek Sarawak–Sabah Link Road Fasa 2 (SSLR2) bakal menjadi pemangkin utama pembangunan di Borneo dengan menghubungkan kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah melalui jaringan jalan raya moden.

Menurut beliau, projek bersejarah itu akan menghubungkan bandar-bandar utama seperti Miri, Marudi, Mulu, Limbang dan Lawas yang sekian lama menantikan limpahan kemajuan.

“SSLR2 ini adalah urat nadi pembangunan yang membawa lebih keselesaan dan keselamatan, melakar masa depan lebih cerah untuk rakyat di kawasan pedalaman,” katanya dalam hantaran Facebooknya selepas melancarkan projek itu semalam.

Hadir sama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri serta kepimpinan Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Anwar Ibrahim merasmikan projek Sarawak Sabah Link Road Fasa 2 (SSLR2) di Nanga Mendamit, Sarawak. FOTO: PMO

Dalam majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan kelulusan pembinaan sebuah Klinik Kesihatan Jenis 5 di Limbang yang akan dimulakan tahun ini, selain menyumbang RM100,000 kepada SMK Mendamit demi kebajikan guru dan pelajar.

“Segala usaha ini lahir daripada persahabatan dan rasa saling percaya antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak. Ia tidak pernah dijadikan ruang untuk kepentingan peribadi, sebaliknya semata-mata untuk manfaat rakyat,” ujarnya.

Anwar menambah, Sarawak kini muncul sebagai gergasi tenaga baharu bertaraf dunia dan kejayaan itu memberi manfaat kepada seluruh negara.

“Justeru, kita mesti terus menjaga keamanan, menghormati kepelbagaian budaya serta memperkukuh kesatuan bangsa demi masa depan yang lebih baik untuk semua,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button