BERITA SEMASAPMX

Malaysia kecam keras serangan udara rejim Zionis di Damsyik

KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara rejim Zionis Israel di Damsyik yang mengorbankan sekurang-kurangnya tiga nyawa dan mencederakan 34 yang lain, awal pagi tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, serangan berkenaan bukan sahaja mencabuli kedaulatan Syria, malah jelas melanggar undang-undang antarabangsa serta Perjanjian Pemisahan 1974 antara Israel dan Syria.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel baru-baru ini di Damsyik yang sekali lagi menceroboh kedaulatan Syria dan mengakibatkan kehilangan nyawa orang awam yang tidak berdosa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, rakyat Syria telah menanggung penderitaan yang berpanjangan selama lebih sedekad dan berhak untuk menikmati keamanan serta kehidupan yang bebas daripada keganasan dan campur tangan asing.

“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Syria, dan menyeru agar pelanggaran seperti ini dihentikan serta-merta. Kita juga menyeru kepada komitmen semula terhadap prinsip-prinsip kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang antarabangsa,” tegas Anwar.

Baca juga : Tiga maut, 34 cedera dalam serangan udara Israel di Damsyik

Dalam kejadian awal pagi itu, tentera Israel melancarkan beberapa siri serangan udara ke atas sasaran utama kerajaan Syria, termasuk ibu pejabat Kementerian Pertahanan dan kawasan strategik berhampiran kompleks tentera.

Ketua Staf Tentera Israel, Eyal Zamir mengesahkan bahawa operasi pengeboman itu disasarkan kepada kerajaan Syria, dipercayai sebagai tindak balas terhadap keengganan pasukan tentera Syria untuk berundur dari kawasan selatan negara tersebut yang menjadi medan pertempuran antara militan Druze dan pasukan keselamatan Syria.

Saluran televisyen tempatan Syria turut melaporkan kerosakan besar ke atas infrastruktur ketenteraan utama negara itu, dengan beberapa letupan turut berlaku berhampiran pusat pertahanan utama negara.

Susulan serangan itu, Kementerian Luar Syria mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis dan menyeru masyarakat antarabangsa agar segera mengambil langkah konkrit bagi menghentikan siri pencerobohan Israel yang berterusan terhadap kedaulatan negara-negara lain di rantau tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button