
Rakyat Malaysia duduki tangga kedua paling ramai melancong ke Thailand
BANGKOK – Dalam separuh pertama tahun ini, Thailand telah menerima kunjungan seramai 17.5 juta pelancong asing, menghasilkan pendapatan kira-kira 825.541 bilion baht (RM106.22 bilion).
Data daripada Kementerian Pelancongan dan Sukan, mendapati bahawa pelancong dari China menduduki tempat teratas dengan 3.43 juta kunjungan, diikuti oleh Malaysia (2.43 juta) dan India (1.04 juta).
Menterinya Sermsak Pongpanit berkata, kelonggaran langkah perjalanan oleh kerajaan, termasuk perjanjian pengecualian visa antara Thailand dan China, telah meningkatkan keyakinan pelancong dan termasuklah dasar bebas visa untuk pelancong dari India, Taiwan dan Kazakhstan juga memudahkan perjalanan ke negara ini.
“Pengecualian kad TM6 bagi lintasan darat di lapan pusat pemeriksaan untuk pelancong dari Malaysia dan Laos turut meningkatkan jumlah pelancong.
“Jumlah pelawat dijangka terus meningkat dalam minggu-minggu akan datang didorong trend pelancongan yang dipengaruhi selebriti, musim cuti musim panas di Eropah dan inisiatif kelonggaran perjalanan oleh kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Thailand telah menetapkan sasaran untuk menarik sekurang-kurangnya 40 juta pelawat asing tahun ini, setara dengan angka prapandemik yang direkodkan pada 2019.
Negara ini juga menjangkakan pendapatan sebanyak tiga trilion baht daripada pelancong domestik dan asing menjelang akhir tahun ini.
Selain dari itu, media tempatan Thailand melaporkan bahawa Kabinet mengesahkan semua kedai bebas cukai di kawasan ketibaan lapangan terbang Thailand akan ditutup, bertujuan untuk meningkatkan perbelanjaan di kedai-kedai domestik yang dijangka menjana sehingga 350 bilion baht setiap tahun.
Tiga pengendali bebas cukai di lapan lapangan terbang antarabangsa Thailand menjana pendapatan 3.02 bilion baht tahun lepas.
Kedai bebas cukai yang akan ditutup termasuk di lapangan terbang Suvarnabhumi, Don Mueang, Chiang Mai, Phuket, Hat Yai, U-Tapao, Samui dan Krabi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








