BERITA SEMASA

Polis digesa siasat dakwaan Yusoff Rawther ejen Mossad

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat dakwaan kemungkinan Muhammad Yusoff Rawther sebagai proksi atau ejen kepada agensi perisikan Israel, Mossad.

Gesaan itu dibuat beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) susulan kenyataan terbuka Yusoff pada tahun 2017 yang menyokong kewujudan negara Israel dan menolak hak negara-negara Arab ke atas Baitulmaqdis.

Ahli Sekretariat Nadi Gemilang Amal, Dzul Hilmi Zainol berkata, kenyataan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan pendirian rasmi Malaysia, malah membuka ruang terhadap kemungkinan pengaruh asing dalam negara.

Malah, katanya, kenyataan yang dibuatnya itu masih boleh diakses dan dibaca umum di dalam portal media antarabangsa Israel sehingga hari ini.

“Kami hadir untuk membuat laporan polis dan mendesak siasatan terhadap Yusoff Rawther.

“Adakah beliau sebenarnya ejen Mossad yang menyusup masuk ke dalam masyarakat Malaysia dengan membawa agenda asing?.

“Negara itu (Israel) tidak pernah kita iktiraf, malah ditolak keras oleh majoriti rakyat Malaysia atas jenayah kemanusiaan yang dilakukannya terhadap rakyat Palestin,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette hari ini.

Terdahulu beliau membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, di sini, hari ini.

Menurutnya, kenyataan Yusoff bukan sahaja berbahaya, malah memperlihatkan kemungkinan wujudnya jaringan sokongan terhadap rejim Zionis dalam kalangan rakyat tempatan.

“Lebih mengejutkan apabila masih ada pemimpin politik dan peguam tempatan yang tampil membela beliau.

“Situasi ini seolah-olah kenyataan tersebut tidak menjadi satu masalah besar,” tambahnya.

Sementara itu peguam NGO yang hadir, Asheeq Ali Sethi Alivi menasihati Yusoff Rawther agar tidak membiarkan dirinya dipergunakan oleh kuasa luar.

“Kalau benar apa yang anda perjuangkan, berdiri atas kaki sendiri. Jangan jadi alat sesiapa, apatah lagi kepada negara yang menindas dan membunuh rakyat Palestin. Itu sahaja nasihat saya,” katanya.

Sebanyak enam wakil NGO yang berbeza telah hadir bagi membuat laporan polis terhadap Yusoff.

Mereka menegaskan, laporan polis itu bukan bermotifkan fitnah, sebaliknya dibuat demi mempertahankan kedaulatan negara serta sensitiviti rakyat Malaysia yang selama ini berdiri teguh bersama Palestin.

“Sekiranya benar Yusoff Rawther bertindak sebagai ejen atau proksi Israel, kita tidak boleh berdiam diri. PDRM perlu bertindak segera,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button