Gajah betina ‘ratapi’ anak mati dilanggar lori
GERIK – Detik menyayat hati berlaku apabila seekor gajah betina dilihat seolah-olah meratapi kematian anaknya yang dilanggar sebuah lori ayam di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 2.50 pagi.
Siasatan mendapati seekor anak gajah keluar secara tiba-tiba dari hutan di bahu kiri jalan untuk melintas, sebelum dilanggar lori ayam yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun dari arah Gerik ke Jeli.
“Sebelum pelanggaran, pemandu lori terlihat seekor gajah besar sedang makan rumput di bahu kanan jalan.
Namun, anak gajah itu tiba-tiba melintas dari bahu kiri dan kerana jarak terlalu dekat, pemandu gagal mengelak lalu melanggarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anak gajah itu disahkan mati di lokasi kejadian akibat pelanggaran tersebut.
Zulkifli berkata, kejadian turut mencetuskan insiden agresif apabila seekor gajah dipercayai ibu kepada anak gajah yang mati itu mengamuk dan merosakkan bahagian hadapan lori berkenaan.
Bagaimanapun, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis kemudiannya menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.
“Pasukan PERHILITAN bertindak menenangkan gajah tersebut dengan menembak pelali sebelum keadaan berjaya dikawal,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


