BERITA SEMASA

Bayi tiga bulan maut dihempap lengan bapa terkena serangan jantung

MELAKA – Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan maut dipercayai lemas selepas dihempap lengan bapanya yang mengalami serangan jantung dalam satu kejadian di Kampung Perigi Hang Tuah, di sini pagi tadi.

Kejadian pada pukul 9.30 pagi itu disedari ibu bayi tersebut Azura Abdul Malik, 37, yang baru pulang ke rumah dari tempat kerja untuk membawa anaknya, Muhammad Nur Daniel Nurul Effendy ke klinik bagi mendapatkan suntikan.

Lebih memilukan, suami Azura, Nurul Effendy Ibrahim, 35, juga disahkan meninggal dunia dalam insiden tersebut.

Azura tidak dapat menahan kesedihan apabila kehilangan suami dan anak bongsunya dalam kejadian tersebut.

Adik kepada Nurul Effendy, Masturadiana Ibrahim, 33, berkata, tragedi itu berlaku ketika kakak iparnya kembali bekerja pada hari pertama selepas cuti bersalin selama tiga bulan.

“Kakak ada hubungi arwah abang tapi tak berjawab jadi dia bergegas pulang ke rumah kira-kira pukul 9.30 pagi.

“Dia ketuk pintu rumah berkali-kali tapi tiada sahutan, akhirnya kakak panjat masuk dari tingkap belakang dan nampak abang terbaring tidak sedarkan diri atas katil dengan lengan menindih muka bayi,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka, memetik laporan Kosmo! Online.

Tambahnya, Azura yang bekerja di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) datang ke rumahnya meminta tolong dan memberitahu bayinya sudah tidak bergerak, manakala muka dan bibir menjadi kebiruan.

“Saya terus membawa bayi itu ke hospital dan hubungi ambulans untuk bawa abang tetapi kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia.

“Pemeriksaan awal mendapati abang mungkin sudah meninggal lebih sejam sebelum ditemukan. Anaknya pula dipercayai lemas akibat dihempap secara tidak sengaja,” katanya.

Pasangan suami isteri itu mempunyai dua anak yang lain berusia 15 dan 16 tahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button