BERITA SEMASA

Bazar Aidilfitri: Elak ulat tiket sebab MP Sungai Petani kutip bayaran parkir motosikal

SUNGAI PETANI — Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) tampil memberikan penjelasan berhubung isu kutipan parkir motosikal bersebelahan premis Nasi Kandar SMA Amin yang tular di media sosial sempena penganjuran Bazar Aidilfitri.

Menurut kenyataan media MPSPK, pihaknya mengambil maklum aduan yang dibangkitkan orang awam menerusi laman Facebook Penduduk Sungai Petani pada 25 Februari lalu berkaitan kutipan bayaran parkir di kawasan berkenaan.

MPSPK menjelaskan bahawa kewujudan individu tidak bertanggungjawab atau dikenali sebagai “ulat parkir” menjadi antara faktor utama tindakan pengurusan parkir secara tersusun dilaksanakan.

“Situasi tersebut dikhuatiri boleh mengundang risiko keselamatan kepada pemilik kenderaan selain mencetuskan salah faham serta pertikaian dalam kalangan orang ramai.

“Sehubungan itu, satu Mesyuarat Khas telah diadakan dan bersetuju meluluskan permohonan Kelab Sukan dan Kebajikan MPSPK (KESUKEM) bagi menguruskan parkir kenderaan di kawasan terbabit sepanjang bulan Ramadan.

“Langkah tersebut diambil susulan isu sama yang pernah timbul pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya hari ini.

MP Sungai Petani
Gambar tular di media sosial apabila anggota MP Sungai Petani mengutip bayaran parkir mototsikal di Bazar Aidilfitri.

Menurut MPSPK, pengurusan parkir secara rasmi dilihat lebih selamat dan sistematik terutama ketika keadaan sesak sepanjang penganjuran bazar, berbanding situasi tanpa pemantauan yang boleh menjejaskan keselamatan serta imej pihak berkuasa tempatan.

Walaupun demikian, MPSPK menegaskan pihaknya memandang serius segala teguran serta ketidakpuasan hati masyarakat.

“Tindakan pembetulan segera telah diambil dengan menempatkan anggota penguat kuasa dan warden lalu lintas beruniform di kawasan yang terlibat bagi memastikan kelancaran trafik serta kesejahteraan pengunjung,” katanya.

Sementara itu katanya, MPSPK turut menegaskan komitmen berterusan untuk menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan selain menghargai maklum balas orang ramai sebagai panduan ke arah tadbir urus yang lebih cekap, telus dan responsif sepanjang penganjuran Bazar Aidilfitri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button