BAPE CAFE!? x HWC Coffee rasmi dibuka di KLCC
KUALA LUMPUR – HWC Coffee menjalin kerjasama dengan jenama fesyen terkemuka, BAPE bagi memperkenalkan pengalaman menikmati kopi dengan sentuhan gaya hidup moden yang menarik untuk dirakam serta dikongsi di media sosial.
Ketua Pegawai Eksekutif HWC Coffee, Zenda Ng berkata, kolaborasi itu turut memperkukuh imej HWC Coffee bukan sahaja sebagai sebuah kafe, malah destinasi gaya hidup yang peka terhadap trend dan kreatif.
“Di BAPE CAFE!? x HWC Coffee di KLCC, ruangnya dihiasi dengan tema BAPE yang memberikan suasana unik. Pelanggan bukan sahaja menikmati kopi, malah merasai pengalaman gaya hidup bersama jenama fesyen itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran pembukaan rasmi BAPE CAFE!? di Suria KLCC, di ibu negara, semalam.
Pada majlis sama, HWC Coffee turut melancarkan drama menegak asli bertajuk Cinta Si Coffee Hunter yang mengetengahkan elemen penceritaan unik berkaitan kopi.
Menurut Zenda, pelancaran drama berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi HWC Coffee untuk mendekati golongan muda dengan cara lebih kreatif.

Justeru, beliau berharap drama tersebut mendapat sambutan positif, khususnya dalam kalangan generasi muda yang semakin menghargai kopi sebagai sebahagian daripada gaya hidup mereka.
“Dengan pendekatan seperti drama digital dan muzik, kami dapat menyampaikan cerita di sebalik kopi kami, iaitu daripada asal-usul biji kopi hingga ke pengalaman menikmatinya, dalam bentuk yang lebih menghiburkan,” ujarnya.
Dalam pada itu, HWC Coffee turut memperkenalkan dua kopi premium istimewa yang dinanti-nantikan, iaitu Panama Geisha Blend dan Panama Los Lajones (lo-la-hoh-nis) Geisha Honey.
“Panama Geisha Blend kini boleh didapati di semua cawangan HWC Coffee di seluruh negara, manakala Panama Los Lajones Geisha Honey hanya ditawarkan sebanyak 400 cawan di BAPE CAFE!? x HWC Coffee KLCC secara eksklusif,” jelasnya.
Zenda menambah, HWC Coffee komited untuk terus memperkenalkan pelbagai jenis biji kopi premium daripada ladang terkemuka dunia kepada rakyat Malaysia.
“Kami juga akan terus membawa lebih banyak pilihan kopi Geisha yang premium dan istimewa pada masa akan datang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






