Bapa redah banjir 3km untuk kebumi jenazah anak
TUMPAT – Seorang bapa berdepan detik pilu apabila terpaksa meredah banjir sejauh kira-kira tiga kilometer menaiki pacuan empat roda demi membawa pulang jenazah bayinya yang baru dilahirkan untuk dikebumikan di kampung.
Mohd Hamzuri Mokhtar, 40, berkata, dia terpaksa meminta bantuan seorang rakan yang memiliki kenderaan pacuan empat roda memandangkan jalan menuju rumahnya di Kampung Kacang Sebidang, di sini tidak boleh dilalui kenderaan biasa akibat banjir.
Menurutnya, bayi perempuan mereka disahkan meninggal dunia dalam kandungan pada Rabu lalu sebelum isterinya, Haslida Mohamad, 41, menjalani pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Bayi itu akhirnya dikeluarkan awal pagi tadi selepas usaha untuk bersalin secara normal tidak berjaya.
“Selepas prosedur selesai, saya membawa pulang jenazah anak terlebih dahulu untuk dikebumikan. Disebabkan laluan dinaiki air, saya meminta bantuan rakan untuk membawa kami dari Kampung Teluk Jering ke Kampung Kacang Sebidang menggunakan pacuan empat roda.
“Alhamdulillah, rumah saya tidak dinaiki air dan tanah perkuburan Kacang Sebidang juga berada di kawasan tinggi, jadi urusan pengebumian dapat dilakukan dengan baik,” katanya memetik laporan BH Online.
Walaupun redha, Mohd Hamzuri mengakui pemergian anak kelimanya itu amat dirasai, apatah lagi bayi berkenaan dijangka lahir pada 3 Disember ini.
“Anak pertama saya juga meninggal dunia dalam kandungan dan kini perkara sama berlaku lagi. Buat masa ini saya mempunyai tiga anak, dua lelaki dan seorang perempuan. Isteri saya masih dirawat di HRPZ II.
“Syukur juga banjir gelombang pertama tahun ini tidak seteruk tahun lalu. Jika lebih teruk, mungkin urusan pengebumian akan menjadi lebih rumit,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



