Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad pastikan sejarah terus hidup, jadi pedoman generasi akan datang – PM
KUALA LUMPUR – Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad bukan sekadar usaha mengekalkan warisan fizikal, sebaliknya satu ikhtiar memastikan sejarah negara terus hidup, difahami dan dijadikan pedoman dalam menghadapi cabaran masa depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, bangunan bersejarah itu merupakan saksi penting perjalanan negara, bermula sebagai pejabat pentadbiran kolonial sehingga menjadi lokasi detik bersejarah penurunan bendera Union Jack pada 31 Ogos 1957.
“Penurunan bendera Union Jack menandakan berakhirnya pemerintahan British dan bermulanya era baharu sebuah negara merdeka dan berdaulat.
“Justeru, pemuliharaannya bukan usaha untuk mengulang nostalgia, tetapi ikhtiar untuk memastikan sejarah terus hidup, difahami dan dijadikan pedoman dalam menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
Baca juga : Kuala Lumpur sebagai tapak warisan dunia, RM1 Bilion diperuntukkan
Menurut Anwar, Bangunan Sultan Abdul Samad yang dinamakan sempena Sultan Selangor ketika itu telah dirasmikan oleh Frank Swettenham pada tahun 1897 dan bukan sekadar sebuah binaan fizikal, malah sebuah sejarah panjang yang menjadi saksi peredaran zaman.
“Keberangkatan Tuanku bukan sekadar menyempurnakan sebuah acara, tetapi mengingatkan kita bahawa perjalanan negara ini sentiasa berakar pada sejarah, dipandu nilai dan dilindungi institusi Raja Berperlembagaan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, pemuliharaan bangunan berkenaan bukan bertujuan mengulang nostalgia semata-mata, sebaliknya bagi memastikan sejarah terus hidup dan difahami oleh generasi masa kini serta akan datang.
Anwar berkata, usaha pemuliharaan tersebut merupakan teras kepada inisiatif WARISAN KL, iaitu pendekatan strategik kerajaan bagi menghidupkan semula tapak-tapak warisan utama Kuala Lumpur sebagai pemangkin pembangunan ekonomi bandar berasaskan budaya.
Menurut beliau, warisan tidak dilihat sebagai beban masa lalu, sebaliknya aset strategik yang mampu menjana pelancongan, menggerakkan industri kreatif, membuka peluang pekerjaan dan mengukuhkan ekosistem perniagaan tempatan.
“Warisan tidak dilihat sebagai beban masa lalu, tetapi sebagai aset strategik yang mampu menjana pelancongan, menggerakkan industri kreatif, membuka peluang pekerjaan dan mengukuhkan ekosistem perniagaan tempatan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan itu selari dengan persiapan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, selain memperkukuh kekuatan naratif sejarah dan peradaban negara dalam menarik kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara.
Tambah beliau, ikhtiar berkenaan turut mencerminkan hasrat membina sebuah Kuala Lumpur yang moden dan dinamik, namun tetap berakar pada sejarah serta nilai.
Anwar berkata, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2026, projek pemuliharaan tersebut melibatkan kesemua enam blok Bangunan Sultan Abdul Samad selain pemuliharaan Seri Negara dan Carcosa di Bukit Carcosa.
Beliau menambah, pemuliharaan bangunan warisan tidak boleh terhenti kepada struktur semata-mata, sebaliknya perlu dihidupkan dengan fungsi yang memberi manfaat kepada rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


