BERITA SEMASALUAR NEGARA

Bandar purba berusia 1,600 tahun ditemukan di Mesir

KAHERAH – Sekumpulan ahli arkeologi menemukan sebuah bandar purba berusia kira-kira 1,600 tahun yang masih terpelihara dengan baik di bawah Gurun Barat Mesir, sekali gus memberikan gambaran jelas mengenai kehidupan masyarakat pada era Empayar Byzantine.

Penemuan di Oasis Dakhla, wilayah New Valley itu diumumkan Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir yang menyifatkannya sebagai antara penemuan arkeologi paling penting sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bandar tersebut menempatkan pelbagai struktur binaan termasuk sebuah gereja basilika, menara kawalan, jalan-jalan utama yang tersusun, rumah kediaman, dapur, relau pembakar roti serta kilang batu yang digunakan untuk mengisar bijirin.

Pengarah Besar Antikuiti Dakhla yang juga ketua misi penggalian, Mahmoud Massoud berkata, penempatan itu mempunyai semua ciri sebuah komuniti yang berfungsi sepenuhnya pada abad keempat Masihi.

“Kami menemukan pelbagai komponen seni bina yang menunjukkan masyarakat di bandar ini menjalani kehidupan yang terancang dan aktif dari segi ekonomi serta sosial,” katanya.

Penemuan tersebut memberi antara gambaran paling jelas mengenai kehidupan masyarakat di kawasan oasis terpencil Mesir ketika negara itu berada di bawah pemerintahan Empayar Byzantine, iaitu antara penghujung abad keempat hingga pertengahan abad ketujuh Masihi.

Selain struktur bangunan, ahli arkeologi turut menemukan hampir 200 serpihan tembikar bertulis atau ostraca dalam bahasa Coptic dan Yunani yang merekodkan urusan perdagangan, surat-menyurat serta pelbagai catatan kehidupan harian penduduk.

Ketua Sektor Antikuiti Islam, Coptic dan Yahudi Mesir, Diaa Zahran berkata, dokumen bertulis itu merupakan antara penemuan paling berharga kerana memberi bukti langsung mengenai aktiviti ekonomi dan kehidupan masyarakat pada zaman tersebut.

Pasukan penyelidik turut menemukan syiling, bekas simpanan minyak dan minyak wangi, lampu minyak serta pelbagai peralatan batu yang digunakan dalam aktiviti harian.

Bandar purba itu dibina mengikut pelan yang sistematik dengan jalan utama dari utara ke selatan bersilang dengan jalan dari timur ke barat, sekali gus membentuk dataran awam di tengah penempatan.

Dua menara kawalan dan sebuah bangunan berkubu pula dipercayai dibina bagi mempertahankan kawasan luar bandar daripada ancaman musuh.

Menurut pakar, penemuan tersebut memberi antara gambaran paling jelas mengenai kehidupan masyarakat di kawasan oasis terpencil Mesir ketika negara itu berada di bawah pemerintahan Empayar Byzantine, iaitu antara penghujung abad keempat hingga pertengahan abad ketujuh Masihi.

Ketika era itu, agama Kristian menjadi pegangan utama masyarakat, manakala Mesir berkembang sebagai antara wilayah paling makmur dalam empayar tersebut.

Oasis Dakhla yang menjadi lokasi penemuan itu kini berada dalam Senarai Tentatif Tapak Warisan Dunia UNESCO dan berpotensi diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia pada masa akan datang.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir turut mengumumkan satu lagi penemuan penting di Marina el-Alamein di pesisir Laut Mediterranean, kira-kira 100 kilometer di barat Iskandariah.

Di lokasi itu, ahli arkeologi menemukan 18 makam purba, termasuk sebuah sarkofagus granit sepanjang kira-kira 2.4 meter yang mengandungi rangka manusia.

Mereka turut menemukan sebuah patung Sphinx daripada plaster yang rosak serta beberapa rangka manusia yang dikebumikan bersama kepingan emas nipis di dalam mulut, satu amalan pengebumian masyarakat Yunani dan Rom purba yang dipercayai membolehkan si mati ‘bertutur’ di alam selepas kematian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button