BERITA SEMASALUAR NEGARA

Austria lulus larangan bertudung di sekolah, denda sehingga RM4,400

VIENNA – Parlimen Austria meluluskan larangan pemakaian tudung dalam kalangan pelajar perempuan bawah berusia 14 tahun di semua sekolah, sekali gus menghidupkan semula dasar yang pernah dibatalkan sebelum ini kerana mendiskriminasi umat Islam.

Undang-undang baharu itu diluluskan semalam dengan majoriti besar yang menetapkan denda antara 150 hingga 800 euro (kira-kira RM750 hingga RM4,400) terhadap ibu bapa yang gagal mematuhinya.

Pada 2019, Austria pernah memperkenalkan larangan tudung bagi kanak-kanak bawah 10 tahun di sekolah rendah namun Mahkamah Perlembagaan membatalkannya pada tahun berikutnya selepas mendapati ia menyasarkan Muslim secara khusus dan bercanggah dengan prinsip keneutralan agama negara itu.

Kerajaan Austria mendakwa mereka telah melakukan yang terbaik untuk memastikan undang-undang terbaharu ini mampu bertahan jika dicabar di mahkamah, lapor Al-Jazeera.

Larangan yang dicetuskan oleh gabungan tiga parti berhaluan tengah itu hadir dalam suasana peningkatan sentimen anti-imigresen dan Islamofobia.

Parti Kebebasan (Freedom Party) berhaluan kanan turut menyokongnya malah mahu larangan itu diperluas kepada semua pelajar dan guru. Satu-satunya parti yang menentang ialah Parti Hijau.

Menteri Integrasi, Claudia Plakolm daripada Parti Rakyat (People’s Party), menyifatkan tudung bagi kanak-kanak sebagai “simbol penindasan”.

Pemimpin Parlimen parti liberal Neos, Yannick Shetty pula mendakwa pemakaian tudung ‘menseksualkan’ kanak-kanak perempuan walaupun ia melindungi mereka daripada pandangan lelaki.

Namun penyelidik kanan Bridge Initiative Universiti Georgetown, Farid Hafez berkata, langkah tersebut menggambarkan ‘wacana Islamofobia hegemonik di Austria’, apatah lagi ia disokong pelbagai parti politik.

Badan rasmi yang mewakili komuniti Muslim negara itu, IGGOe, pula menegaskan larangan tersebut ‘menggugat perpaduan sosial’, selain ‘menstigma dan meminggirkan’ kanak-kanak perempuan.

Pengarah urusan Persatuan Hak Wanita Amazone, Angelika Atzinger berkata, larangan ini menghantar mesej bahawa keputusan mengenai tubuh wanita ditentukan oleh pihak lain dan dianggap sah.

Menteri Pendidikan Christoph Wiederkehr pula mendakwa semakin ramai kanak-kanak perempuan ditekan oleh keluarga dan juga rakan lelaki sebaya mengenai pakaian atas alasan ‘agama’.

Timbalan ketua Parlimen Parti Hijau, Sigrid Maurer, mencadangkan pasukan campuran termasuk wakil komuniti Muslim ditubuhkan untuk menangani ‘ketegangan budaya’ di sekolah jika timbul.

Larangan itu berkuat kuasa Februari depan dengan tempoh permulaan tanpa penalti bagi memberi penerangan kepada guru, ibu bapa dan pelajar mengenai peraturan baharu.

Selepas itu, denda akan dikenakan bagi kesalahan berulang.

Kerajaan Austria menjangka kira-kira 12,000 pelajar perempuan bakal terkesan akibat pelaksanaan undang-undang tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button