BERITA SEMASADALAM NEGERI

KKM larang produk ASGG Gluta Genc Glow Gummies, mengandungi bahan tidak dibenarkan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan amaran berhubung penjualan dan pengiklanan produk ASGG Gluta Genc Glow Gummies selepas ia disahkan tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

KKM dalam kenyataan memaklumkan produk itu dikesan mengandungi bahan aktif Glutathione yang tidak dibenarkan sebagai nutrien tambahan dalam makanan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Berikutan itu, produk terbabit tidak boleh dijual atau dipromosikan sebagai makanan.

Menurut KKM, mana-mana produk mengandungi Glutathione hanya boleh dipasarkan jika didaftarkan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sebagai produk farmaseutikal, dan tidak boleh dikategorikan sebagai produk makanan.

“Susulan pelanggaran peraturan tersebut, semua penjualan dan pengiklanan produk berkenaan dalam apa jua bentuk termasuk melalui platform e-dagang perlu dihentikan serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Produk ASGG Gluta Genc Glow Gummies.

KKM turut memaklumkan bahawa sehingga 10 November lalu, sebanyak 121 permohonan sekatan pengiklanan telah dikemukakan kepada penyedia platform e-dagang.

Di bawah Seksyen 13B(2)(d) Akta Makanan 1983, perbuatan mencampur bahan yang tidak dibenarkan dalam makanan adalah satu kesalahan dan boleh membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Peniaga, termasuk penjual atas talian yang masih menyimpan stok produk tersebut, diarahkan menghentikan penjualan serta-merta dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi urusan penyitaan, manakala platform pengiklanan pula diminta menamatkan segera siaran iklan berkaitan.

KKM juga menasihatkan pengguna yang sedang mengambil produk itu supaya menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat profesional kesihatan.

“Orang ramai diingatkan agar memastikan setiap produk makanan yang dibeli tidak dicampur bahan yang tidak dibenarkan.

“Sebarang pertanyaan atau laporan berkaitan keselamatan makanan boleh dibuat kepada PKD atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, selain melalui Portal SISPAA dan Facebook rasmi Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM),” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button