BERITA SEMASA

Anak Robert Kuok dilantik CEO Shangri-La Asia, terima gaji RM312,000 sebulan

KUALA LUMPUR – Anak kepada tokoh korporat terkemuka Malaysia, Robert Kuok, iaitu Kuok Hui Kwong dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Shangri-La Asia berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Menurut laporan The Straits Times, Hui Kwong sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif syarikat berkenaan sejak Jun 2016 dan dilantik sebagai Pengerusi pada Januari 2017.

Pelantikan tersebut diumum menerusi pemakluman kepada bursa saham semalam yang turut menyatakan bahawa penggabungan jawatan Pengerusi dan CEO dijangka dapat meningkatkan kesepaduan strategi serta keberkesanan operasi syarikat di bawah kepimpinan beliau.

“Pelantikan ini akan memastikan visi yang konsisten dan menyeluruh dapat dilaksanakan di semua peringkat pengurusan,” kata syarikat itu.

Difahamkan, Kuok Hui Kwong yang berusia 47 tahun akan menerima gaji asas bulanan sebanyak S$94,300 (kira-kira RM312,000) selain elaun, bonus tahunan dan pencen berdasarkan prestasi.

Shangri-La Asia turut memaklumkan bahawa bekas CEO, Lim Beng Chee telah bersara pada penghujung 2022 namun masih kekal sebagai Pengarah Bukan Eksekutif dalam syarikat.

Hui Kwong juga memiliki pegangan saham secara langsung dan tidak langsung sebanyak 95.57 juta unit dalam Shangri-La Asia, bersamaan 2.7 peratus daripada keseluruhan saham syarikat.

Shangri-La Group diasaskan oleh Robert Kuok pada tahun 1971 dengan pembukaan hotel pertamanya di Singapura.

Menerusi laporan tahunan 2024, kumpulan itu kini memiliki dan mengendalikan lebih 100 hotel di bawah empat jenama utama – Shangri-La, Kerry, Hotel Jen dan Traders.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button