Anak ‘pergi’ selepas 4 hari diserang kuman kencing tikus, perkongsian bapa sentuh hati netizen
KUALA LUMPUR – Seorang bapa tidak menyangka anak sulungnya pergi buat selamanya selepas empat hari berdepan komplikasi akibat serangan kuman kencing tikus.
Melalui satu hantaran menyentuh hati di Facebook, Mohd Azizuddin Aziz berkongsi detik-detik sebelum anak lelakinya, Muhammad Ikmal Amir yang dipanggil Along menghembuskan nafas terakhir di Hospital Besar Melaka pada 17 Julai lalu.

“Mama, maafkan abang. Mama, terima kasih kerana menjaga abang dari kecil,” itu kalam terakhir Along pada ibunya.
Malah, Allahyarham turut meminta ayahnya supaya kuat dan jangan risau akan dirinya.
“Hati mana yang tak sedih bila Along yang sedang bertarung dengan maut masih kata dia okey.
“Allah … itulah Along yang tak pernah mengalah dengan apa jua ujian,” tulis Mohd Azizuddin.
Menurutnya lagi, jangkitan kuman dipercayai berpunca daripada minuman dalam tin yang diminum Along ketika dalam perjalanan mendaki sebuah bukit.
“Daripada lima orang peserta pendakian, hanya Along yang mengalami serangan kuman tersebut.
“Empat hari sahaja serangan kuman secara diam itu telah menghancurkan buah pinggangnya, paru-paru, saraf dan jantung,” ujarnya.
Mohd Azizuddin turut berkongsi bahawa wajah jenazah Along berada dalam keadaan tenang dan sedikit tersenyum, namun darah masih mengalir dari hidungnya walaupun selepas beberapa jam meninggal dunia.
“Kata penjaga bilik mayat, jarang jumpa jenazah macam ni. Biasanya, jika diserang kuman kencing tikus, darah akan kering dan keluar melalui mulut atau dubur, bukan hidung sahaja,” katanya lagi.
Beliau juga menyifatkan Along sebagai seorang anak yang soleh, menjaga solat di awal waktu, menjaga wuduk dengan baik dan menghafaz al-Quran.
“Dia anak yang baik. Mungkin ini hikmahnya,” tulis Mohd Azizuddin yang turut memohon agar orang ramai menghadiahkan surah al-Fatihah buat arwah anaknya.
Hantaran tersebut berjaya meraih 5,600 reaksi, 1,400 komen dan 13,100 perkongsian.
Allahyarham Muhammad Ikmal Amir selamat dikebumikan pada hari Jumaat lalu di Kodiang, Kedah bersebelahan pusara datuknya yang meninggal dunia pada bulan Mei lalu.
Kes itu mengingatkan orang ramai agar sentiasa membasuh tin minuman sebelum diminum, terutamanya ketika melakukan aktiviti luar atau rekreasi di kawasan terbuka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
