AMK Hulu Selangor bantah cadangan ladang babi di Bukit Tagar
HULU SELANGOR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Hulu Selangor membantah keras dan menolak sebarang cadangan pembukaan ladang ternakan babi di kawasan Bukit Tagar yang didakwa melibatkan kelulusan di peringkat kerajaan negeri.
Ketua AMK Hulu Selangor, Ghafur Ismail berkata, cadangan itu bukan sahaja tidak mengambil kira sensitiviti penduduk setempat, malah berpotensi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, khususnya majoriti penduduk Melayu Islam di daerah berkenaan.
“Selain isu sensitiviti agama, projek terbabit juga menimbulkan persoalan dari segi kesan terhadap alam sekitar, kesihatan awam serta kesejahteraan komuniti setempat.
“Suara rakyat tempatan mesti dihormati dan diutamakan, bukannya diketepikan atas alasan teknikal atau kepentingan ekonomi semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menggesa kerajaan negeri Selangor supaya menilai semula kesesuaian lokasi cadangan projek berkenaan serta mempertimbangkan alternatif lain yang tidak mencetuskan ketegangan sosial dan sensitiviti agama.
Ghafur berkata, prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan serta kebertanggungjawaban perlu menjadi asas dalam setiap keputusan yang memberi kesan langsung kepada rakyat.
“AMK Hulu Selangor mendesak agar semua langkah dan kelulusan berkaitan pembukaan ladang babi di Bukit Tagar dihentikan serta-merta sehingga satu penilaian semula yang menyeluruh dibuat dengan penglibatan penduduk setempat,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, AMK Hulu Selangor akan terus konsisten mempertahankan hak, kepentingan dan sensitiviti rakyat di daerah itu serta memastikan setiap pembangunan yang dirancang benar-benar membawa manfaat, bukannya menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








