
Along Cham dakwa isteri seleweng dana sumbangan orang ramai
PUTRAJAYA – Pelawak, Along Cham mendakwa isterinya, Afreena Suhaimi menyeleweng duit sumbangan orang ramai yang sepatutnya digunakan untuk membantunya sepanjang dia ditahan di Penjara Sungai Buloh.
Laporan Kosmo Online menyebut, Along atau nama penuhnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, sebagai berkata, dana yang terkumpul hasil sumbangan orang awam termasuk golongan selebriti itu dianggarkan sekitar RM100,000.
“Dana-dana dikutip itu katanya untuk kegunaan saya, tetapi tidak sampai kepada pihak saya. Duit yang digunakan untuk ikat jamin semalam adalah daripada ibu saya, Siti Habsah Kadir, ahli keluarga dan Didie Alias.
“Bukan sahaja orang awam, selebriti juga beri sumbangan. Dia (Afreena) dakwa duit daripada dana itu nak guna untuk kos perbelanjaan anak lelaki saya, Ahmad Daniel.
“Tapi sepanjang saya ditahan, anak saya diuruskan oleh Didie Alias. Dianggarkan lebih RM100,000 dana yang terkumpul,” katanya di pekarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya, di sini hari ini.
Terdahulu, dia dilaporkan memfailkan pengesahan cerai taklik terhadap isterinya di mahkamah berkenaan.
Along Cham kemudian turut memohon maaf bagi pihak isterinya yang mempergunakan namanya untuk kepentingan sendiri.
“Bagi pihak isteri, saya memohon maaf kerana dia menggunakan nama saya. Saya pun tak faham apa motif isteri saya,” katanya lagi.
Sementara itu, ibu Along Cham, Siti Habsah difahamkan sudah membuat laporan polis berhubung penyelewengan dana tersebut.
Katanya, pihak polis juga akan memanggil mana-mana pihak yang terlibat dalam memberi sumbangan ke dana tersebut untuk membuat laporan.
Semalam, Along Cham dilepas tanpa bebas (DNAA) daripada satu pertuduhan berkaitan pemilikan dadah disyaki kanabis oleh Mahkamah Sesyen Sepang.
Dia bagaimanapun dikenakan dua pertuduhan lain melibatkan pemilikan dan penggunaan dadah di Mahkamah Majistret Sepang.
Hakim membenarkan Along Cham diikat jamin sebanyak RM5,000 sementara menunggu perbicaraan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






