BERITA SEMASA

Aidilfitri: Penggunaan elektrik dan air dijangka meningkat, rakyat diseru berjimat

PUTRAJAYA – Orang ramai digesa mengamalkan penggunaan tenaga elektrik dan air secara berhemah sepanjang sambutan Aidilfitri berikutan peningkatan ketara penggunaan kedua-dua sumber itu setiap kali musim perayaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, penggunaan elektrik di kediaman dianggarkan meningkat antara 20 hingga 40 peratus berbanding hari biasa.

Beliau berkata, langkah mudah seperti mematikan lampu dan peralatan elektrik yang tidak digunakan, mengelakkan mod sedia, menetapkan suhu penyaman udara antara 24 hingga 26 darjah Celsius serta menggunakan peralatan berlabel cekap tenaga empat atau lima bintang mampu membantu menjimatkan penggunaan.

“Penggunaan air turut dijangka meningkat antara 30 hingga 35 peratus terutama di negeri tumpuan perantau pulang beraya, namun operator bekalan air telah bersiap siaga bagi memastikan bekalan mencukupi.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) juga memastikan semua operator bersedia dengan pelan kontingensi sekiranya berlaku sebarang gangguan sepanjang musim perayaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui SPAN menyasarkan penggunaan air per kapita harian tidak melebihi 160 liter selaras piawaian antarabangsa.

Fadillah turut menyarankan orang ramai mengambil langkah penjimatan air seperti membaiki kebocoran paip, memastikan pili ditutup rapat, menggunakan air tadahan hujan untuk kegunaan luar serta membasuh pakaian hanya apabila muatan penuh.

Selain itu, penggunaan semula air tidak tercemar seperti air wuduk serta pemilihan produk berlabel cekap air dua atau tiga bintang juga mampu mengurangkan bil sehingga purata 50 peratus.

Dari aspek keselamatan elektrik, beliau mengingatkan supaya pendawaian rumah sentiasa dalam keadaan baik dan Peranti Arus Baki (PAB) diuji secara berkala dengan menekan butang ‘T’ sekurang-kurangnya sekali sebulan.

“Sekiranya PAB berfungsi, bekalan elektrik akan terputus serta-merta. Jika tidak, ia perlu diganti oleh kontraktor elektrik berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar orang ramai tidak menggunakan soket secara berlebihan, memastikan wayar tidak rosak, menggunakan peralatan berlabel keselamatan, mengeringkan tangan sebelum mengendalikan peralatan elektrik serta mengelakkan penggunaan telefon ketika sedang dicas.

Menurutnya, amalan penggunaan tenaga dan air secara cekap bukan sahaja menjamin keselamatan ketika beraya, malah menyokong kelestarian sumber negara untuk jangka panjang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button