Ahmad Farhan diberi amanah tawan semula Indera Mahkota pada PRU16
KUANTAN – Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Ahmad Farhan Fauzi mengesahkan beliau telah diamanahkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku presiden untuk menawan kembali kerusi Parlimen Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata, amanah tersebut merupakan satu tanggungjawab besar dan cabaran penting bagi memastikan kemenangan semula parti di kawasan berkenaan.
“Kita perlu sedar tanggungjawab ini perlu dipikul bersama. Tanpa kerjasama semua anggota cabang, amat mustahil untuk kita melangkah ke hadapan,” katanya memetik laporan Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PKR peringkat Cabang Indera Mahkota, di sini semalam.
Ahmad Farhan yang merupakan Ketua Cabang Indera Mahkota memaklumkan, jumlah keahlian PKR di kawasan tersebut kini mencecah 6,665 orang dengan pertambahan 1,962 anggota baharu.

Beliau turut menyasarkan jumlah keahlian meningkat kepada 10,000 orang sebelum Kongres Nasional PKR bermula.
Ahmad Farhan berkata, pihaknya komited untuk merampas semula kerusi Parlimen itu berdasarkan rekod kemenangan PKR di kawasan berkenaan pada tahun 2008, 2013 dan 2018, sekali gus membantu parti itu mengekalkan kedudukannya dalam kerajaan pada PRU16.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Datuk Seri Saifuddin Abdullah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Indera Mahkota dengan majoriti 8,399 undi selepas menewaskan calon daripada Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Pejuang.
Saifuddin mula menyandang kerusi itu sejak 2018 ketika bersama PKR sebelum kemudiannya mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Sementara itu, beliau turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba memburukkan imej parti termasuk dalam kalangan ahli sendiri kerana tindakan sedemikian boleh melemahkan kekuatan PKR.
“Menyerang Presiden PKR adalah seperti menyerang kita semua dan kita akan menentang sebarang usaha yang boleh memecahbelahkan parti,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



