75 masjid dan surau di sekitar Parlimen Indera Mahkota, Kuantan terima sumbangan ihya Ramadan
KUANTAN – Sebanyak 75 masjid dan surau di sekitar Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan menerima sumbangan bagi mengimarahkan bulan Ramadan tahun ini.
Menurut Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, sumbangan itu diserahkan kepada 45 buah masjid dan surau kebenaran Jumaat di Parlimen Indera Mahkota serta 29 buah lagi di Parlimen Kuantan.
Katanya, menerusi inisiatif itu setiap masjid menerima sumbangan sebanyak RM5,000 manakala setiap surau menerima RM3,000 bagi membantu melancarkan pelaksanaan program sepanjang bulan Ramadan.
“Dalam kesempatan ini, saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas keprihatinan beliau menyalurkan peruntukan ini melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bagi menyantuni keperluan institusi masjid dan surau di kawasan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Program Ihya Ramadan Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan 2026/1447H yang berlangsung di Masjid Taman Balok Makmur bersama wakil-wakil jawatankuasa masjid dan surau kebenaran Jumaat (SKJ) sekitar Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan.
Turut hadir ialah Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Pejabat Agama Islam Daerah Kuantan, Mohammad Khairuddin Abdul Aziz.
Majlis turut diserikan dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Uwais Al-Qarni Abdul Wahab yang menyentuh tentang kemuliaan dan kelebihan bulan Ramadan, di samping mengingatkan para hadirin agar sentiasa mensyukuri nikmat keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi selama ini.
Sementara itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengerusi Masjid Taman Balok Makmur, Roslan Awang dan jawatankuasa yang membantu menjayakan program yang penuh bermakna ini.

“Besar harapan agar sumbangan ini dapat memperkukuh peranan institusi masjid dan surau sebagai pusat ibadah, perpaduan dan kebajikan masyarakat, sekali gus memastikan segala program yang dirancang sepanjang Ramadan dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan memberi manfaat kepada qariah dan kominiti setempat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








