BERITA SEMASA

Ahli Parlimen FOM diberi pendedahan isu pertahanan negara

KUALA LUMPUR – Beberapa Ahli Parlimen Kerajaan MADANI yang merupakan ahli Friends of Ministry (FOM) bagi Kementerian Pertahanan (MINDEF) berpeluang mengikuti sesi taklimat khas bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi memahami secara lebih mendalam isu-isu berkaitan keselamatan dan pertahanan negara.

Sesi tersebut turut memberi ruang kepada wakil rakyat terbabit untuk mengenali fungsi dan tanggungjawab MINDEF serta peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

 

Khaled berkata, inisiatif tersebut amat penting bagi memastikan Ahli Parlimen sebagai anggota legislatif mendapat pendedahan menyeluruh berkaitan cabaran pertahanan semasa, strategi masa depan serta tanggungjawab badan eksekutif dalam isu keselamatan negara.

FOM bersama Menteri Pertahanan

“Malam tadi saya berpeluang berkongsi beberapa perkara asas pertahanan negara, termasuk doktrin, cabaran yang sentiasa berubah serta harga sebenar bagi mengekalkan keamanan.

“Sebagai Ahli Parlimen, mereka perlu memahami keperluan serta perkembangan semasa MINDEF dan ATM bagi membolehkan mereka membahaskan isu-isu pertahanan secara lebih efektif di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Khaled turut merakamkan penghargaan kepada Kelab Penyokong Kerajaan (Backbenchers Club – BBC) yang telah memperkenalkan inisiatif FOM yang disifatkan mampu mengeratkan lagi hubungan antara kementerian dan Ahli Parlimen Kerajaan.

“Kolaborasi strategik ini diharap dapat memupuk pemahaman lebih mendalam dalam kalangan Ahli Parlimen terhadap hal ehwal pertahanan, selain membantu mereka memberikan pandangan yang membina dalam perbahasan berkaitan isu keselamatan negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button