AGAMA

Nuzul Quran & Lailatul Qadar, dua malam dengan keistimewaan berbeza

PADA bulan Ramadan yang mulia, terdapat dua malam yang sangat istimewa yang dikurniakan Allah SWT iaitu Nuzul Quran dan Lailatul Qadar.

Walaupun kedua-dua malam ini mempunyai kaitan rapat dengan penurunan Al-Quran, namun hakikatnya terdapat perbezaan dari segi peristiwa, waktu dan keutamaannya.

Gua Hira’ yang terletak di puncak Jabal Nur ini menjadi lokasi penerimaan wahyu pertama oleh Rasulullah SAW.

Pengerusi Kolej Islam As Sofa, Datuk Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin berkata, Nuzul Quran merujuk kepada peristiwa turunnya wahyu pertama kepada Rasulullah SAW di Gua Hira’ pada 17 Ramadan sekali gus menandakan permulaan kerasulan Baginda SAW dan penyebaran Islam.

“Lailatul Qadar pula adalah malam yang mempunyai kedudukan dan kemuliaan yang besar di mana mereka yang beramal pada malam tersebut, dikurniakan pahala seperti beribadah selama seribu bulan.

“Pada malam itu juga, keseluruhan Al-Quran diturunkan dari Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah yang terletak di langit dunia dan kemudian diturunkan kepada Rasulullah SAW secara berperingkat mengikut sesuatu hajat dan peristiwa yang berlaku selama 23 tahun,” kata beliau yang dipetik daripada kitab Tazkirah Ramadan – Cara Salafussoleh Menghayati Bulan Ramadan yang ditulisnya.

Tambah beliau, di sisi pendapat yang lain, dinamakan Lailatul Qadar kerana pada malam itu, Allah SWT mentakdirkan segala perkara yang dikehendaki-Nya.

Datuk Muhammad Fuad Kamaludin

“Maksudnya, Allah SWT menzahirkan segala takdir-Nya semenjak azali yang akan dikurniakan kepada semua hamba-Nya pada tahun itu seperti urusan hujan, rezeki, ajal, maut dan sebagainya,” jelas beliau.

Ia sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Dukhan, ayat 49 yang bermaksud: “Bahawa pada malam itu dicerai-ceraikan segala perkara yang akan dijadikan-Nya seperti hujan, rezeki, hidup, kematian dan sebagainya.”

Menurut beliau lagi, disebut dalam hadis bahawa Nabi Muhammad SAW memberitahu berita gembira kepada sahabat-sahabatnya tentang kedatangan bulan Ramadan.

Pada bulan Ramadan, umat Islam dikurniakan dengan Lailatul Qadar yang penuh rahsia iaitu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan.

Sabda Rasulullah SAW: “Telah datang kepada kamu suatu bulan yang berkat, yang diwajibkan oleh Allah ke atas kamu berpuasa, dibukakan pada bulan tersebut pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan. Di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tidak melakukan suatu kebajikan pada malamnya, maka dia terlepas daripada mendapat kelebihan malam tersebut.”

Sebahagian ulama berpendapat bahawa hadis ini menjadi sandaran atau dalil bagi amalan mengucapkan tahniah di antara satu sama lain atas kedatangan bulan Ramadan.

Oleh itu, memahami perbezaan antara malam Nuzul Quran dan malam Lailatul Qadar ini bukan sekadar menambah ilmu, tetapi juga membantu kita untuk lebih menghargai peristiwa besar dalam sejarah Islam dan meningkatkan ibadah pada malam-malam yang penuh keberkatan dalam meraih redha Tuhan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button