Abbe Hae cedera tercampak dari kuda
KUALA LUMPUR – Aktivis masyarakat terkenal, Abbe Hae mengalami kecederaan pada bahagian pinggul selepas tercampak dari seekor kuda ketika berada di kandang lembunya di Kampung Wakaf Raja, Kelantan, baru-baru ini.
Menurut Abbe, kejadian berlaku pada 22 April lalu sejurus selesai membantu menyelamatkan dua warga emas di Kota Bharu sebelum dia singgah ke kandang lembunya untuk beriadah sambil memberi makan ternakan.
Katanya, kejadian berlaku ketika dia menunggang kuda dipanggil Rossa yang sedang bunting tiga bulan.
Bagaimanapun, situasi berubah apabila dia cuba menunggang seekor lagi kuda berwarna coklat milik penduduk kampung yang ketika itu tidak dipasang pelana.
“Mula mula tunggang dia okay saja seperti juga si Rossa. Tiba-tiba si anak yang coklat ni pula buat menyibuk lari sana lari sini, buat kalut depan mak dia.
“Apa lagi si mak pun terus memecut dan kebetulan si coklat pula tidak diletakkan pelana kuda.
“Abbe bukannya mahir pun naik kuda apatah lagi tanpa pelana kuda. Di situlah Abbe lost control dan tercampak dari si coklat,” kongsinya menerusi hantaran di Facebook.
Akibat kejadian itu, beliau terbaring hampir 15 minit menahan kesakitan selepas bahagian tulang pinggulnya terhentak kuat ke tanah.
Abbe mengakui bimbang berlaku keretakan pada tulang pinggul kerana kesakitan yang dialami agak teruk, namun bersyukur masih mampu bangun dan berjalan selepas beberapa ketika.
Katanya, keadaan itu juga menyebabkan dia kini terpaksa menggunakan tongkat buat sementara waktu.
“Harap-harap seminggu dua ni sakit tulang pinggul Abbe tu dah sembuh. Lain kali Abbe akan lebih berhati hati,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


