BERITA SEMASAPMX

PM ucap tahniah kepada Sanae Takaichi, mahu lonjak kerjasama strategik Malaysia-Jepun

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Jepun, Takaichi Sanae atas kemenangan besar Parti Liberal Demokratik (LDP) dalam pilihan raya umum negara itu.

Menurut beliau, kemenangan tersebut mencerminkan keyakinan rakyat Jepun terhadap visi kepimpinan Takaichi dalam memperbaharui ekonomi negara berkenaan serta keupayaannya menyuntik semangat kepada generasi pengundi baharu.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri Takaichi Sanae atas kemenangan besar LDP dalam pilihan raya umum Jepun. Mandat kukuh ini mencerminkan kepercayaan rakyat terhadap visi beliau untuk pembaharuan ekonomi Jepun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, gabungan parti pimpinan Takaichi, LDP mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya semalam, dengan 352 daripada 465 kerusi yang dipertandingkan.

Anwar berkata, Takaichi sebelum ini telah mengadakan lawatan ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober 2025, hanya beberapa hari selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Jepun.

Menurut beliau, sepanjang lawatan tersebut, Takaichi menunjukkan komitmen dan kesungguhan tinggi dalam membincangkan isu-isu yang menjadi kepentingan bersama kedua-dua negara, termasuk daya tahan ekonomi, peralihan hijau serta keselamatan maritim.

“Malaysia komited untuk mengekalkan momentum kerjasama dalam bidang-bidang ini serta keutamaan strategik lain yang memberi manfaat bersama,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau menantikan kerjasama lebih erat dengan Takaichi bagi memperkukuh dan melonjakkan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Jepun ke tahap yang lebih tinggi.

“Beliau pernah menyatakan akan ‘bekerja, bekerja, bekerja, bekerja dan bekerja’ demi Jepun. Saya menantikan kerjasama yang sama intensif dengan Perdana Menteri Takaichi untuk membawa hubungan Malaysia-Jepun ke peringkat seterusnya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button