MiiM, YPKESM meterai MoU bantu asnaf dan anak yatim selesaikan isu pusaka
KUALA LUMPUR – Mawarith Integrated Sdn Bhd (MiiM) dan Yayasan Pembangunan Komuniti dan Sosio Ekonomi Malaysia (YPKESM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang bertujuan untuk memberikan fokus kepada pembinaan dana bagi pentadbiran pusaka serta penyediaan perkhidmatan profesional kepada golongan asnaf dan anak yatim.
Pengarah Komersial MiiM, Abdul Hadi Pilus berkata, MoU ini menggariskan tiga objektif utama bagi membantu golongan berkenaan.
“Pertama ialah dengan menyelesaikan isu pusaka yang terbeku bagi asnaf dan anak yatim. Melalui MoU ini, MiiM dan YPKESM bersatu tenaga untuk membantu asnaf dan anak yatim dalam menyelesaikan isu-isu pusaka yang terbeku. Ini akan memberikan mereka kepastian hukum dan hak-hak mereka yang sah dalam warisan keluarga.
“Kedua, memberikan bantuan profesional dalam urusan pusaka yang merangkumi penyediaan bantuan profesional kepada asnaf dan anak yatim dalam urusan pusaka. Ini termasuk khidmat nasihat undang-undang dan penyelesaian isu berkaitan pusaka untuk memastikan perlindungan hak mereka,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Selain itu, Hadi berkata, MoU itu juga akan menggalakkan penglibatan masyarakat dengan memberi peluang kepada masyarakat untuk berperan aktif dalam membantu asnaf dan anak yatim dengan meringankan beban kos pentadbiran pusaka.
“Golongan sasar ini pasti mempunyai hak mereka didalam pusaka, kekakangan kewangan dan ekonomi menyebabkan proses pusaka tidak dapat dilaksanakan kerana memerlukan kos,” ujarnya.
Lebih membimbangkan katanya, berdasarkan data yang dikeluarkan pihak Amanah Rakyat, jumlah harta pusaka terbeku di Malaysia semakin hari semakin bertambah.
Sehubungan itu, katanya, langkah proaktif perlu diambil bagi membantu asnaf dan anak yatim mencairkan bahagian pusaka mereka sekali gus dapat menyumbang kepada nilai ekonomi keluarga.
Sementara itu, Pengerusi YPKESM, Datuk Khairul berkata, pihaknya terpanggil untu mengambil langkah tersebut berikutan tiada pihak yang tampil untuk membantu proses pusaka golongan berkenaan.
“Pihak yayasan mengambil langkah proaktif dengan kerjasama MiiM bagi menawarkan dana dan bantuan profesional kepada mereka. Kami berharap melalui kerjasama ini, mereka dapat mencapai hasil yang bermakna dalam membina masyarakat yang lebih kukuh dan inklusif.