Pasaran hartanah negara kekal stabil, tiada elemen gelembung – Nga Kor Ming
KUALA LUMPUR – Pasaran hartanah Malaysia terus mencatat pertumbuhan yang stabil dan sihat tanpa sebarang petunjuk pembentukan gelembung.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peningkatan berterusan jumlah dan nilai transaksi hartanah sejak tiga tahun kebelakangan ini mencerminkan keyakinan pasaran yang kukuh serta tidak didorong oleh aktiviti spekulatif.
“Nilai transaksi keseluruhan pasaran hartanah negara menunjukkan peningkatan konsisten daripada RM196.8 bilion pada 2023 kepada RM232.3 bilion pada 2024 dan kami menjangkakan ia mampu melepasi RM250 bilion pada tahun 2026,” katanya ketika berucap pada Malaysia Economy Forum 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Menurut Kor Ming, kadar pemilikan rumah di Malaysia kini berada pada 76.5 peratus berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sekali gus mengatasi beberapa negara maju termasuk Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Jerman.
Mengulas usaha meningkatkan pemilikan rumah, beliau berkata, keutamaan kerajaan adalah meningkatkan tahap pendapatan rakyat, memandangkan kawalan harga secara langsung tidak sesuai dilaksanakan dalam pasaran bebas.
“Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedang giat menarik pelaburan langsung asing bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya lagi.
Beliau berkata, Bank Dunia menjangkakan Malaysia akan mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2028, dengan Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita mencecah RM 63,000 (AS$14,000) atau lebih, sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.
“Peningkatan nilai hartanah yang sihat adalah penting. Penyusutan nilai atau kenaikan mendadak akibat spekulasi hanya akan memberi tekanan kepada pembeli,” katanya lagi.
Kor Ming berkata, kerajaan turut memperkenalkan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bernilai RM40 bilion bagi membantu lebih ramai rakyat Malaysia membeli rumah pertama.
“Setakat ini, skim ini telah membantu lebih 97,750 individu memiliki rumah pertama dan kerajaan berharap lebih banyak institusi perbankan menyertai inisiatif ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








