KPKT perkukuh kesejahteraan rakyat, reformasi perkhidmatan bandar
PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kekal komited memperkasa kesejahteraan rakyat melalui pemantapan agenda perumahan mampu milik, pendigitalan perkhidmatan serta pengukuhan kesiapsiagaan kecemasan selaras dengan cabaran urbanisasi masa kini.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, komitmen tersebut dizahirkan menerusi pelbagai pencapaian signifikan sepanjang 2025 yang membuktikan keberkesanan tadbir urus kementerian dalam memenuhi keperluan rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menggulung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena pembukaan Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas, yang turut menggariskan hala tuju strategik KPKT.
Menurut beliau, antara kejayaan utama kementerian ialah penyediaan 511,544 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di seluruh negara, sekali gus melepasi sasaran 500,000 unit di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) juga mencatat prestasi luar biasa apabila sebanyak 26,260 unit berjaya dibina, bersamaan 175 peratus daripada sasaran asal, melibatkan peruntukan RM2.13 bilion,” katanya lagi.
Dalam usaha melindungi pembeli rumah, beliau berkata, Pasukan Petugas Projek Sakit dan Terbengkalai (TFST) berjaya menyelesaikan 1,114 projek perumahan swasta, sekali gus menyelamatkan 138,510 unit kediaman bernilai RM85.45 bilion.
Selain itu, sebanyak 216 Taman Rekreasi MADANI telah dibina bagi tempoh 2024 hingga 2025, melepasi sasaran awal 200 taman, manakala melalui inisiatif Lif MADANI 2.0, peruntukan RM88.1 juta disalurkan untuk menyelenggara dan menggantikan 204 unit lif di 109 projek perumahan awam.
Kor Ming turut memaklumkan, inisiatif MyKiosk mencatat pembinaan 7,243 unit dalam tempoh dua tahun dengan peruntukan RM150 juta, sekali gus memberi manfaat kepada lebih 7,000 keluarga peniaga kecil.
Dalam aspek kebersihan dan alam sekitar, katanya, sebanyak 11,397 tandas awam telah dinaik taraf ke standard ‘BMW’ (Bersih, Menawan, Wangi) melibatkan peruntukan RM800 juta, selain SWCorp berjaya menutup 3,634 tapak pembuangan sampah haram di seluruh negara.
“Kita juga melakar sejarah dengan penciptaan dua rekod Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi Hari Cuci Malaysia 2025 yang melibatkan lebih 100,000 sukarelawan,” katanya lagi.
Tambah beliau, KPKT turut melancarkan Blueprint Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal 2025–2035 serta mengoperasikan loji Waste-to-Energy (WtE) pertama negara di Port Dickson sebagai langkah transformasi pengurusan sisa.
Bagi memastikan keberkesanan MyKiosk, KPKT memperkenalkan sistem penilaian ‘lampu isyarat’ melibatkan 156 pihak berkuasa tempatan (PBT), di mana PBT berprestasi baik akan menerima peruntukan tambahan manakala yang gagal akan dikurangkan atau ditarik balik peruntukan.
Sementara itu, beliau berkata, kesemua 34 projek PR1MA yang dikenal pasti sebagai projek sakit sejak 2023 telah berjaya dipulihkan sepenuhnya, dengan projek PR1MA Bukit Katil, Melaka menjadi projek terakhir memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) setakat 4 Februari 2026.
Dalam usaha memperluas akses pemilikan rumah, KPKT turut memperkenalkan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bernilai RM40 bilion yang telah membantu 170,850 pembeli rumah, termasuk kemudahan pinjaman tambahan 20 peratus bagi tujuan renovasi dan pembelian perabot.
Bagi tahun 2026, kementerian menyasarkan seramai 100,000 pembeli rumah memanfaatkan skim berkenaan.
Secara keseluruhan, Kor Ming berkata, hala tuju KPKT yang dibentangkan di Parlimen mencerminkan tekad berterusan kementerian untuk meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan melalui penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien, inklusif dan progresif selaras aspirasi Malaysia MADANI.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















