BERITA SEMASA

PM seru umat Islam manfaatkan malam Nisfu Syaaban dengan zikir, doa

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam di negara ini memanfaatkan kehadiran malam Nisfu Syaaban 1447 Hijrah dengan memperbanyakkan zikir serta berdoa sebagai usaha memohon keampunan Allah SWT dan memperkukuh persiapan rohani menjelang bulan Ramadan Al-Mubarak.

Perdana Menteri berkata, malam Nisfu Syaaban mengingatkan umat Islam supaya bermuhasabah diri serta berdoa supaya dilepaskan daripada segala kesusahan dan bala bencana.

“Menjelang malam Nisfu Syaaban 1447 Hijrah ini, kita anjurkan bersama-sama untuk berzikir mengingati Allah SWT dan berdoa memohon untuk mengampunkan dosa dan melepaskannya daripada segala susah bala bencana,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar seterunya menambah, Ramadan perlu dihayati sebagai medan pembentukan rohani yang mendidik umat Islam ke arah amalan lebih baik serta memperkukuh hubungan dengan Allah SWT.

“Malam ini juga mengingatkan kita bahawa bulan Ramadan Al-Mubarak semakin hampir.

“Tiada yang lebih bererti selain persiapan kerohanian yang rapi, kita akan jalani kembali madrasah Ramadan dengan cita-cita amalan kita akan lebih baik dari sebelumnya,” katanya.

Dalam hantaran sama, Anwar turut menegaskan, kepentingan amalan ibadah yang dilakukan secara istiqamah bagi membentuk ketenangan jiwa, selain menyingkirkan sifat-sifat negatif seperti kebencian dan hasad dengki.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru umat Islam menghayati doa dalam Surah Al-Hashr ayat 10 sebagai panduan membina hati yang bersih dan penuh kasih sayang sesama insan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button