BERITA SEMASA

1,399 projek perumahan swasta sakit, terbengkalai berjaya dipulihkan – KPKT

PUTRAJAYA – Sebanyak 1,399 projek perumahan swasta berstatus sakit dan terbengkalai di seluruh negara berjaya dipulihkan hasil tindakan intervensi berfokus yang dilaksanakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pencapaian itu melibatkan 167,423 unit rumah dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM133.78 bilion, sekali gus memberi manfaat besar kepada pembeli rumah yang terkesan.

Menurut beliau, sehingga 31 Disember 2025, sebanyak 161 projek perumahan swasta berstatus lewat, 349 projek berstatus sakit dan 99 projek berstatus terbengkalai direkodkan di seluruh negara.

“Status projek-projek ini berada dalam kawalan hasil pemantauan berterusan serta pelaksanaan intervensi bersasar melalui platform TFST,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat TFST Bilangan 1 Tahun 2026, di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah projek terbengkalai menunjukkan penurunan daripada 102 projek kepada 99 projek, sekali gus mencerminkan keberkesanan kerjasama erat antara TFST dan pihak berkepentingan dalam memulihkan projek perumahan demi kepentingan pembeli serta kesejahteraan rakyat.

Aiman Athirah turut berkata, sejak penubuhan TFST pada 2023, sebanyak 109 projek berjaya dipulihkan daripada status sakit kepada lancar, manakala 1,265 projek sakit telah disiapkan sepenuhnya sehingga memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Selain itu 34 projek perumahan terbengkalai turut berjaya dipulihkan sama ada melalui penyiapan fizikal projek atau penyelesaian melibatkan pembeli.

Dalam pada itu sepanjang 2024 dan 2025, pihaknya mengekalkan momentum pemantauan konsisten menerusi lawatan ke 68 projek perumahan, dengan 46 projek berjaya disiapkan sepenuhnya dan memperoleh CCC.

“Baki projek yang masih dalam pelaksanaan pula menunjukkan perkembangan fizikal yang memberangsangkan dan dijangka siap mengikut jadual ditetapkan,” katanya lagi.

Menurut beliau, pencapaian tersebut adalah hasil kerjasama strategik dan komitmen berterusan antara pasukan TFST, pihak berkuasa tempatan, agensi teknikal, agensi penyedia utiliti serta pihak pemaju bagi memastikan setiap isu ditangani secara menyeluruh dan berfokus kepada penyelesaian.

Beliau berkata, TFST akan terus berfungsi sebagai platform utama dalam menangani isu projek perumahan swasta bermasalah dengan pendekatan penyelesaian yang praktikal dan berkesan.

“Usaha berterusan ini selaras dengan komitmen KPKT untuk mengurangkan bilangan projek perumahan bermasalah secara berperingkat dan mencapai sasaran sifar projek perumahan terbengkalai menjelang 2030,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button