BERITA SEMASA

PKNS lancar penempatan semula berstruktur bagi 56 keluarga Orang Asli Bukit Baja di Cyber Valley

CYBERJAYA – Inisiatif penempatan semula berstruktur Komuniti Orang Asli Bukit Baja (KOABB) melibatkan 56 keluarga di Dengkil, Sepang yang terkesan dengan pembangunan Cyber Valley membuktikan komitmen Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terhadap pembangunan inklusif dan kebajikan masyarakat orang asli.

Penyerahan cek sumbangan kepada semua keluarga terlibat berlangsung di Galeri PKNS Cyber Valley semalam, sekali gus menandakan permulaan fasa pelaksanaan pelan penempatan semula yang lebih tersusun, berperikemanusiaan dan mampan.

PKNS
Seramai 56 ketua isi rumah menerima cek sumbangan pada majlis yang berlangsung di Galeri PKNS Cyber Valley semalam.

Ia disempurnakan oleh Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah. Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS (Usaha Sama Strategik), Ir Md Kamarzan Md Rais.

Dalam satu kenyataan, PKNS menegaskan komitmen agensi itu untuk memastikan proses penempatan semula dilaksanakan secara teratur, berperingkat dan berhemah.

“PKNS komited memastikan pelaksanaan penempatan semula KOABB dilaksanakan secara terancang, berstruktur dan berteraskan kebajikan komuniti dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor serta semua pihak berkepentingan.

“Inisiatif ini mencerminkan peranan PKNS sebagai pemangkin pembangunan inklusif yang bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi tetapi turut memelihara kepentingan komuniti asal dalam kawasan pembangunan baharu seperti Cyber Valley,” kata kenyataan tersebut.

PKNS kini merancang pembangunan penempatan semula di atas tanah seluas 8.87 ekar bagi menempatkan 56 keluarga KOABB yang kini mendiami kawasan pembangunan PKNS Cyber Valley.

Cadangan pembangunan itu dibahagikan kepada dua zon utama iaitu 6.27 ekar bagi pembinaan 56 unit rumah sesebuah berkeluasan 1,000 kaki persegi dan 2.6 ekar bagi pembangunan kemudahan sokongan komuniti merangkumi balai raya, tadika, ruang rawatan, pejabat Tok Batin dan JPPK, surau serta tiga unit lot kedai.

Pada 5 Oktober tahun lalu, PKNS telah mengadakan sesi libat urus bersama KOABB bagi penyerahan surat tawaran penempatan semula kepada keluarga terlibat.

Antara tawaran yang dikemukakan PKNS termasuk pembinaan sebuah rumah sesebuah satu tingkat, RM7,000 bagi kos pemindahan dan perobohan rumah sedia ada, RM100,000 saguhati, pampasan sehingga RM200,000 bagi setiap satu ekar tanaman semasa dan sumbangan Tabung Komuniti KOABB berjumlah RM3 juta.

Pelaksanaan projek ini dilihat sebagai model pembangunan mampan yang mengimbangi keperluan pembangunan negeri dengan hak, kebajikan dan kelangsungan hidup komuniti asal, selaras dengan agenda pembangunan inklusif Negeri Selangor.

Majlis tersebut merupakan susulan pengumuman Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 9 Julai 2024 yang memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan mewartakan 180 ekar (72.8 hektar) tanah milik kerajaan negeri sebagai kawasan Perkampungan Orang Asli Bukit Baja yang selamat dan diiktiraf secara rasmi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button