Gabungan tadika swasta rayu tangguh dasar kemasukan Darjah 1 umur 6 tahun
SEPANG – Gabungan Pendidik Awal Kanak-Kanak Swasta Malaysia menggesa kerajaan supaya menangguhkan pelaksanaan dasar kemasukan murid ke Darjah 1 pada umur 6 tahun di bawah Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035.
Ia susulan kebimbangan terhadap kesan besar yang dijangka menimpa ekosistem pendidikan awal kanak-kanak swasta di seluruh negara.
Rayuan itu dibuat berikutan pengumuman rasmi berkaitan kemasukan kanak-kanak ke prasekolah kerajaan pada umur 5 tahun, kemasukan ke Darjah 1 pada umur 6 tahun serta pengenalan ujian penilaian pada Darjah 4 yang disifatkan sebagai perubahan struktur besar dalam sistem pendidikan negara.
Gabungan berkenaan menyatakan sokongan terhadap aspirasi kerajaan untuk memperkukuh kualiti pendidikan dan memperkenalkan intervensi awal pembelajaran, namun berpandangan bahawa pelaksanaan dasar tersebut tanpa pelan peralihan yang jelas boleh memberi implikasi serius terhadap kelangsungan tadika dan prasekolah swasta.

Menurut kenyataan itu, antara kebimbangan utama ialah pengumuman dasar yang dibuat tanpa rundingan formal bersama pengusaha dan pendidik tadika swasta selain ketiadaan kajian impak menyeluruh terhadap tenaga kerja, struktur operasi serta kelangsungan kewangan institusi swasta.
“Tadika swasta selama ini menjadi tulang belakang persediaan kanak-kanak sebelum memasuki sekolah kerajaan dan membantu sistem pendidikan negara tanpa memerlukan kos infrastruktur awam yang besar.
“Perubahan mendadak ini telah mengganggu perancangan pengambilan pelajar, menjejaskan struktur kelas dan nisbah guru serta mewujudkan ketidaktentuan operasi dan kewangan ribuan tadika swasta,” menurut kenyataan itu.
Gesaan itu dibuat selepas satu mesyuarat tergempar diadakan oleh Gabungan Pendidik Awal Kanak-Kanak Swasta Malaysia di Auditorium Brainy Bunch, di Cyberjaya hari ini.
Dalam aspek tenaga kerja, gabungan memaklumkan terdapat lebih 8,000 tadika swasta berdaftar di Malaysia yang menyediakan peluang pekerjaan kepada puluhan ribu, malah dianggarkan sehingga lebih 100,000 guru, majoritinya wanita yang membina kerjaya jangka panjang dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak.
Justeru tegas gabungan itu, keadaan dasar yang tidak stabil berisiko menyebabkan pengurangan tenaga pengajar berpengalaman, kehilangan keyakinan terhadap kestabilan kerjaya serta penurunan kualiti pendidikan akibat kadar keluar masuk guru yang tinggi.
“Selain itu, pengenalan tekanan akademik dan penilaian awal seawal umur 5 tahun berpotensi memberi tekanan emosi kepada kanak-kanak dan mewujudkan kebimbangan berlebihan dalam kalangan ibu bapa.
“Malah, ia juga boleh mengubah fokus pendidikan awal daripada pembangunan holistik kepada pencapaian akademik semata-mata,” kata kenyataan itu lagi.
Bagi institusi berteraskan nilai Islam, gabungan itu turut menekankan bahawa tadika bukan sekadar tempat pembelajaran asas, tetapi fasa penting pembentukan iman, akhlak dan pembiasaan ibadah yang dikhuatiri terjejas sekiranya peralihan ke Darjah 1 dilakukan terlalu awal.
Gabungan juga memberi amaran kemungkinan berlakunya penyusutan mendadak enrolmen tadika swasta apabila ibu bapa memilih menghantar anak berusia 5 tahun ke prasekolah sekolah kebangsaan sebagai persediaan ke Darjah 1 pada umur 6 tahun, sekali gus meningkatkan risiko penutupan secara meluas institusi tadika swasta di seluruh negara.
Sehubungan itu, Gabungan Pendidik Awal Kanak-Kanak Swasta Malaysia mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan.
Ini termasuk penangguhan pelaksanaan dasar kemasukan Darjah 1 pada umur 6 tahun, penetapan tempoh peralihan minimum sekurang-kurangnya satu tahun dan pelaksanaan projek perintis sebelum penguatkuasaan nasional.
Di samping itu, gabungan juga mencadangkan rundingan rasmi bersama pengusaha atau pendidik tadika swasta serta pewujudan lesen khas dan Jabatan Khas Tadika, Taska dan Pusat Jagaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Gabungan ini komited untuk bekerjasama secara konstruktif dengan kerajaan bagi memastikan dasar pendidikan dilaksanakan secara terancang, inklusif dan tidak menjejaskan kestabilan industri serta kesejahteraan kanak-kanak,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

