Pelajar tahfiz ‘sesat’ dalam konsert, Pemuda PN nyata kekesalan
KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Ahmad Fadhli Shaari menyelar tindakan pihak tertentu yang menjemput pelajar tahfiz ke konsert KEPCI Music Fest di Shah Alam, kelmarin.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu menyatakan kekesalan susulan penganjuran acara yang tidak sensitif terhadap aksi tidak sopan kumpulan penari sehingga mengundang rasa tidak senang orang ramai.
“Kepada pihak yang menjemput anak-anak tahfiz (jika dilihat kepada pakaian berjubah dan berserban) ke konsert KFC semalam, saya mohon sensitiflah sikit.
“Apa tujuan pergi hadap anak-anak pelajar agama ke konsert seperti itu? Apa nilai yang anda ingin sampaikan?
“Soal PM turut sama menonton tu terpulanglah, saya tidak mahu komen, boleh buat penilaian sendiri,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Kenyataan Fadhli itu merujuk kepada video tular di aplikasi TikTok yang memaparkan kehadiran sekumpulan remaja berserban dalam konsert KEPCI Music Fest di Shah Alam, kelmarin.
Rakaman video itu juga menunjukkan beberapa orang penari perempuan beraksi di pentas utama.
Konsert yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 KFC itu, dihadiri lebih 8,500 penonton termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemani isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.