BERITA SEMASA

Lemon Law antara lima undang-undang perlindungan pengguna disasar dibentang tahun ini

PUTRAJAYA – Isu Lemon Law berkaitan tuntutan tebus rugi pengguna antara lima agenda utama reformasi undang-undang perlindungan pengguna yang disasarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penggubalan peruntukan berkaitan Lemon Law bertujuan memperkukuh mekanisme penyelesaian pertikaian serta tuntutan tebus rugi yang lebih terperinci, khususnya melibatkan pembelian kenderaan baharu.

Menurutnya, walaupun undang-undang sedia ada telah wujud, masih terdapat kelompangan yang perlu ditangani secara menyeluruh demi melindungi kepentingan pengguna.

“Sebenarnya kita sudah ada undang-undang sedia ada, bukannya tidak ada langsung, tetapi terdapat kelompangan yang perlu kita tangani.

“Isu ini penting dan kita perlu memastikan pendekatan terbaik, termasuk penerimaan daripada industri serta meneliti amalan terbaik beberapa negara yang telah mempunyai akta berkaitan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 KPDN di sini, hari ini.

Armizan berkata, selain Lemon Law KPDN turut merancang pindaan terhadap Akta Persaingan 2010 dan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 bagi memperkasa aspek penyiasatan serta penguatkuasaan terhadap aktiviti kartel dan monopoli yang menjejaskan pengguna.

“Kedua-dua akta berkenaan dijangka dibentangkan untuk bacaan pertama pada hujung persidangan Parlimen kali ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, cabaran transaksi digital turut mendorong kementerian menggubal atau menambah baik perundangan berkaitan e-dagang menerusi Akta Perdagangan Elektronik 2006, selaras keperluan meningkatkan akauntabiliti platform serta perlindungan pengguna.

“Kita sedang melihat bentuk kawal selia yang perlu dilaksanakan supaya kepentingan pengguna yang membeli di platform e-dagang benar-benar terjamin, termasuk memastikan barang yang dibeli sampai dengan kualiti dan kuantiti seperti ditetapkan,” katanya lagi.

Armizan turut berkata, KPDN merancang meminda Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 bagi membanteras penipuan serta eksploitasi pengguna, di samping memastikan industri berkenaan berkembang secara beretika dan mampan.

Selain itu, kementerian juga merancang menggubal Undang-Undang Harta Alih Kepentingan Bercagar bagi mewujudkan sistem pendaftaran kepentingan bercagar ke atas harta alih sebagai cagaran pinjaman, sekali gus memberi kejelasan dan keselamatan kepada pengguna serta pemberi pinjaman.

Sementara itu, Armizan berkata amanat bertemakan ‘KPDN KITA: Memaknai Aspirasi Rakyat’ menegaskan kesinambungan pelaksanaan kerangka besar hala tuju kementerian yang telah digerakkan sejak 2024.

Katanya, hala tuju berkenaan merangkumi empat fokus utama iaitu Ketangkasan Penguatkuasaan, Pemacu Ekonomi Domestik, Daya Upaya dan Advokasi Kepenggunaan, serta NACCOL sebagai Pendekatan Seluruh Negara (K.P.D.N).

Menurut beliau, pelaksanaan hala tuju itu digerakkan melalui empat pembolehubah utama merangkumi Keterangkuman Kerajaan dan Kecemerlangan Organisasi, Iltizam Industri, Tekad Tatakelola, serta Aspirasi dan Partisipasi Awam (K.1.T.A).

Bagi tahun 2026, katanya, gerak kerja hala tuju berkenaan dianjakkan dengan penetapan tiga indikator utama bagi memastikan aspirasi rakyat benar-benar diterjemahkan dalam pelaksanaan dasar.

“Indikator itu merangkumi penterjemahan ‘blueprints’ kepada pelaksanaan ‘footprints’ dalam bentuk inisiatif, program serta penguatkuasaan, seterusnya menghasilkan ‘imprints’ melibatkan petunjuk prestasi, kestabilan harga dan penyertaan rakyat,” katanya lagi.

Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan setiap perancangan yang digariskan kerajaan dapat diterjemahkan kepada tindakan nyata dan akhirnya memberi manfaat sebenar yang dapat dirasai oleh rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button