BERITA SEMASADALAM NEGERI

SUV terbakar dalam kemalangan babitkan tiga kenderaan

KUALA LUMPUR – Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terbakar dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Lebuhraya DUKE dari arah Jalan Duta menghala ke Ampang, petang semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata dalam kejadian kira-kira jam 4.28 petang, membabitkan dua SUV dan sebuah kereta sedan.

“Sebuah SUV dipandu lelaki tempatan berusia 38 tahun yang berada di lorong tengah melanggar sebuah kereta sedan dari arah belakang, sebelum kenderaan sedan berkenaan terlanggar sebuah lagi SUV di lorong kanan.

“Akibat pelanggaran berkenaan, SUV dipandu lelaki berusia 38 tahun itu hilang kawalan, terbabas ke pembahagi jalan dan terbakar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata, keadaan jalan ketika kejadian adalah rata dan kering dengan aliran trafik sederhana, manakala kemalangan itu membabitkan dua lagi pemandu iaitu masing-masing lelaki tempatan berusia 69 dan 21 tahun.

“Kedua-duanya dilaporkan tidak mengalami kecederaan. Bagaimanapun, pemandu SUV yang terbabas mengalami sakit di bahagian dada dan menerima rawatan lanjut.

“Polis trafik Kuala Lumpur menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian termasuk mengambil gambar, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan merakam percakapan semua individu terbabit bagi membantu siasatan.

“Ujian pernafasan (EBA) turut dijalankan ke atas pemandu SUV terbabit dan didapati negatif kandungan alkohol. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button