AGAMAPENDAPATRENCANA

Berhenti membanding, belajar bersyukur: Resipi tenang sambut tahun baharu

SETIAP kali tirai tahun baharu dibuka, azam baru juga dilihat datang bersama. Ia bukan sekadar pertukaran tarikh tapi seolah-olah datang membawa semangat yang luar biasa.

Bagi sesetengah orang, awal tahun merupakan hari yang ditunggu-tunggu, seakan-akan perubahan masa tersebut turut menuntut perubahan diri.

Namun tidak dinafikan bagi ramai orang, ia juga hadir dengan satu beban yang senyap iaitu rasa ketinggalan dalam banyak hal sama ada dalam konteks pencapaian diri sendiri, keluarga, anak-anak mahupun kewangan.

Percutian
Media sosial sering dipenuhi kisah percutian yang menyebabkan masyarakat mula membandingkan dengan apa yang dimiliki. – Foto Hiasan

Lebih-lebih lagi apabila hidup di era media sosial yang saban hari dipenuhi cerita kejayaan, percutian mewah, pencapaian kerjaya dan kehidupan yang kelihatan ‘sempurna’.

Tanpa disedari sikap membandingkan hidup sendiri dengan orang lain mula menjadi tabiat.

Kesannya, ramai dalam kalangan kita memulakan tahun baharu bukan dengan harapan tetapi dengan hasad dan rasa tidak puas hati terhadap rezeki sendiri.

Tahun baharu yang dianggap masa sesuai untuk kembali tenang bertukar menjadi tekanan untuk mengejar kehidupan agar setara dengan orang lain.

Sekiranya kita telah melangkah ke tahun baharu dengan membawa semua perasaan ini, di sinilah sebenarnya kita perlu berhenti dan bertanya: Adakah perbandingan ini membawa kita lebih dekat kepada kebahagiaan atau semakin jauh daripadanya?

Hasad, penyakit hati yang merosakkan ketenangan

Dalam Islam, hasad bukan sekadar emosi biasa-biasa. Ia dianggap sebagai penyakit hati yang berbahaya.

Menurut Imam al-Jurjani, hasad bukan hanya perasaan dengki atau tidak puas hati melihat nikmat yang ada pada orang lain tetapi berharap agar nikmat tersebut hilang daripada mereka.

Hasad dengki
Hasad bukan hanya perasaan dengki atau tidak puas hati melihat nikmat yang ada pada orang lain tetapi berharap agar nikmat tersebut hilang daripada mereka. – Foto Hiasan

Oleh itu, Rasulullah SAW bersabda:

“Hendaklah kamu menjauhi hasad, kerana hasad akan memakan kebaikan seperti api yang membakar kayu-kayu kering.” (Riwayat Abu Daud)

Apabila kita membandingkan diri dengan orang lain, kita sebenarnya sedang mempersoalkan pembahagian rezeki yang telah diaturkan oleh Allah secara tidak sedar.

Apabila kita terlalu kerap melihat kesempurnaan dalam hidup orang lain, kita mula merasakan hidup ini tidak adil dan perasaan hasad akan muncul dalam jiwa.

Sedangkan tiada seorang pun manusia yang hidup di dunia ini terlepas daripada ujian Allah SWT.

Allah SWT pernah mencela sikap orang Yahudi yang iri hati dengan nikmat kekayaan dan kejayaan kerajaan Islam yang dipimpin oleh Rasulullah SAW suatu masa dahulu.

Mereka merasakan bahawa merekalah yang layak memimpin dunia.

Perasaan hasad yang membuak-buak itu akhirnya telah menyebabkan mereka melampaui batas sehingga ke hari ini.

Hasad
Apabila kita terlalu kerap melihat kesempurnaan dalam hidup orang lain, kita mula merasakan hidup ini tidak adil dan perasaan hasad akan muncul dalam jiwa.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Nisa, ayat 54 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu (kaum Yahudi) iri hati kepada manusia (Nabi Muhammad dan umatnya) terhadap nikmat yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari limpah kurnia-Nya.”

Islam tidak melarang untuk kita memliki cita-cita dan berdoa agar dikurniakan nikmat yang sama seperti yang kita lihat pada orang lain.

Tetapi harus diingat bahawa membandingkan rezeki hanya menumbuhkan ketidakpuasan hati yang tidak berkesudahan.

Syukur, penawar yang membebaskan jiwa

Lawan kepada hasad bukan sekadar bersabar tetapi bersyukur. Syukur akan mengubah cara kita melihat kehidupan.

Ia memindahkan fokus daripada ‘apa yang aku tidak ada’ kepada ‘apa yang telah aku terima’.

Dengan bersyukur ia mampu mengubah cara kita melihat kehidupan dan menjalaninya dengan tenang. – Foto Hiasan 

Membandingkan diri dengan orang lain hanya akan merosakkan kebahagiaan diri dan mematikan motivasi untuk terus berjaya seperti kata pepatah Inggeris ‘comparison is the thief of joy’.

Dalam Islam, syukur bukan tanda pasrah tanpa usaha. Ia adalah pengakuan bahawa apa yang kita miliki hari ini adalah cukup untuk peringkat hidup kita sekarang.

Malah, Allah SWT berjanji dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Jika kamu bersyukur, pasti Aku akan menambah lagi (nikmat) kepadamu.”

Menariknya, janji Allah ini selari dengan kajian psikologi moden tentang kesejahteraan hidup manusia.

Salah satu kajian Barat menunjukkan bahawa individu yang mengamalkan sikap gratitude (rasa kesyukuran) secara konsisten memiliki tahap kebahagiaan yang lebih tinggi dan tekanan emosi negatif yang lebih rendah.

Tahun baharu masa mengubah fokus, bukan membandingkan

Jika tahun-tahun sebelum ini kita sibuk bertanya, “Mengapa dia lebih berjaya daripada aku?”, mungkin tahun ini soalan yang lebih sihat ialah: “Apakah langkah yang boleh diambil untuk menjadi versi diri yang lebih baik?”

Tahun baharu adalah masa yang terbaik untuk kita menetapkan semula arah kehidupan kita.

Jika kita sedar arah hidup kita sudah lari atau tersasar daripada titik fokus yang asal, maka kita harus mengubahnya.

Perutusan Tahun Baharu 2026 Anwar
Tahun baharu adalah masa yang terbaik untuk menetapkan semula arah dan fokus kehidupan kita.

Tahun baharu seharusnya menjadi ruang untuk memperbaharui niat, bukan memperbaharui tekanan.

Dengan meninggalkan tabiat membandingkan diri dengan orang lain, kita sedang membuka pintu kepada ketenangan yang lebih dalam.

Apabila hasad digantikan dengan syukur dan perbandingan digantikan dengan kesedaran diri, hidup menjadi lebih ringan.

Kita mungkin tidak memiliki semua yang orang lain ada, tetapi kita boleh memiliki ketenangan yang ramai orang cari-cari.

Dan itulah sebenarnya kejayaan yang paling bernilai untuk dibawa ke tahun-tahun baharu yang seterusnya.

Islam tidak menafikan persaingan, tetapi menekankan persaingan yang sihat dan beretika, tanpa merendahkan orang lain atau menyakiti diri sendiri.

Allah menilai usaha dan keikhlasan, bukan kekayaan atau pangkat kedudukan di mata manusia.

Memulakan tahun baharu dengan hati yang bersih termasuk mensyukuri setiap nikmat yang ada mampu memberi kebahagiaan dalam diri. – Foto Hiasan

Kejayaan yang harus kita ukur adalah progres peribadi iaitu membandingkan versi diri kita yang dahulu dengan hari ini, bukan perbandingan luaran.

Seperti yang Rasulullah SAW tegaskan kepada kita:

”Allah tidak memandang kepada kekuatan tubuh badan kamu, mahu pun kecantikan rupa parasmu, tetapi Allah melihat kepada hati dan amalanmu.” (Riwayat Muslim)

Justeru, marilah sama-sama kita memulakan tahun baharu dengan hati yang bersih daripada segala sifat yang mazmumah dan hati yang sentiasa belajar rasa cukup dengan apa yang Allah beri.

ARTIKEL OLEH:

DR AMANI NAWI

DR AMANI NAWI

Penulis merupakan Pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
  • Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button