BERITA SEMASA

KBS sokong penuh amanat Perdana Menteri perkukuh agenda belia dan sukan MADANI

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyatakan sokongan penuh terhadap segala amanat, hala tuju serta penegasan yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri hari ini.

KBS berkata, kementerian itu menyambut baik penekanan Anwar terhadap usaha memperkukuh tadbir urus Kerajaan, pemerkasaan integriti penjawat awam, pembudayaan budaya kerja berprestasi tinggi serta keutamaan kepada penyampaian perkhidmatan yang cekap, telus dan berimpak tinggi kepada rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.

“KBS komited untuk terus memperkasakan agenda pembangunan belia dan sukan negara melalui pelaksanaan dasar, program serta inisiatif yang berfokus kepada kesejahteraan belia, pembudayaan sukan, kecemerlangan atlet dan pengukuhan ekosistem industri sukan yang inklusif serta mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KBS turut menyokong sepenuhnya penegasan Perdana Menteri terhadap pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu utama pembangunan modal insan negara.

KBS akan terus memperkukuh peranan institusi belia dan sukan di bawah kementerian berkenaan dalam menyediakan latihan kemahiran, meningkatkan kebolehpasaran serta menyediakan laluan kerjaya berasaskan TVET yang selari dengan keperluan industri, termasuk sektor sukan dan keusahawanan.

Dalam memastikan prinsip keadilan sosial Kerajaan MADANI terus diperkasakan, KBS memberi tumpuan khusus kepada usaha membantu belia daripada golongan B40 agar tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.

“KBS menyokong pelaksanaan dan penambahbaikan bantuan bersasar Kerajaan, termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas yang akan dikreditkan pada 9 Februari, selain bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 sehingga RM500 yang akan dikreditkan bermula 20 Januari ini,” katanya lagi.

Menurut KBS, langkah berkenaan penting bagi meringankan beban kos sara hidup dan menjamin kesejahteraan golongan belia berpendapatan rendah.

Selain itu, kementerian tersebut turut menegaskan komitmen untuk memastikan setiap warga KBS menghayati nilai profesionalisme, akauntabiliti dan semangat kerja berpasukan seperti yang ditekankan oleh Anwar, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam membina negara yang progresif, berdaya tahan dan berteraskan nilai kemanusiaan.

“KBS akan terus bekerjasama rapat dengan semua agensi, pihak berkepentingan serta rakan strategik bagi merealisasikan visi dan hala tuju yang telah digariskan demi manfaat belia, atlet dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button