BERITA SEMASADALAM NEGERI

MCMC beri amaran keras, pantau penyalahgunaan AI di media sosial

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi amaran keras kepada semua pengguna dan pengendali platform digital supaya tidak menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menghasil atau menyebarkan kandungan tidak senonoh, jelik melampau serta memudaratkan khususnya melibatkan wanita dan kanak-kanak.

MCMC dalam kenyataan hari ini menegaskan bahawa tindakan sedemikian merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) yang melarang penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian atau aplikasi untuk menghantar kandungan berunsur lucah, sumbang atau jelik melampau.

Menurut suruhanjaya itu, siasatan akan dimulakan terhadap pengguna platform X yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan teknologi AI sehingga melanggar peruntukan undang-undang sedia ada.

“Penyalahgunaan AI bagi menghasilkan kandungan memudaratkan adalah suatu kesalahan dan tidak akan dikompromi,” menurut kenyataan itu.

MCMC turut memaklumkan bahawa dengan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), semua platform dalam talian dan penyedia perkhidmatan berlesen diwajibkan mengambil langkah proaktif bagi mencegah penyebaran kandungan memudaratkan, termasuk bahan lucah, tidak senonoh serta penderaan seksual kanak-kanak.

Walaupun platform X bukan penyedia perkhidmatan berlesen di Malaysia ketika ini, MCMC menegaskan bahawa platform tersebut tetap tertakluk kepada piawaian keselamatan dalam talian tempatan dan bertanggungjawab mencegah penyebaran kandungan berbahaya kepada pengguna.

“MCMC sedang menyiasat kemudaratan dalam talian yang berlaku di platform X dan akan memanggil wakil platform berkenaan bagi mendapatkan penjelasan,” katanya.

Dalam pada itu, MCMC menggesa semua platform digital di Malaysia supaya memperkukuh mekanisme perlindungan selaras dengan undang-undang negara, khususnya berkaitan penggunaan AI, chatbot serta aplikasi manipulasi imej.

Orang ramai dan mangsa juga dinasihatkan melaporkan sebarang kandungan memudaratkan kepada platform berkaitan, selain membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC, termasuk melalui portal aduan dalam talian suruhanjaya itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button