Ejen insurans mengaku tidak bersalah tuduhan tipu pelaburan RM900,000
KUALA LUMPUR – Seorang ejen insurans dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki dengan menyamar sebagai pengarah sebuah syarikat pengurusan kewangan sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM900,000.
Tertuduh, Teong Chooi Tim, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya mangsa berusia 33 tahun dengan meyakinkannya bahawa beliau merupakan pengarah syarikat berkenaan, selain menawarkan pulangan keuntungan yang lumayan bagi modal perniagaan berjumlah RM900,000.
Akibat diperdayakan, mangsa melakukan 31 transaksi pemindahan wang ke dalam 17 akaun berbeza, yang tidak akan dilakukan sekiranya mangsa tidak ditipu, lapor Buletin TV3.
Perbuatan itu didakwa berlaku di sebuah rumah di Persiaran Alam Damai, Cheras, antara 25 November hingga 22 Disember 2023.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd. Khusri, menawarkan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh melaporkan diri ke balai polis terdekat sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam Ng Mei Yi yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya menanggung kos rawatan bapa yang menghidap penyakit kronik.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain memerintahkan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 Januari depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








