AGAMABERITA SEMASA

Aktivis dedah sumbangan besar Allahyarham Bung Moktar dalam penubuhan badan dakwah di Sabah

KUALA LUMPUR – Ketokohan serta jasa Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam membantu pembangunan Rumah Transit Mualaf Sabah (RTMS) kembali menjadi perhatian susulan pendedahan seorang aktivis dakwah mengenai peranan besar namun jarang didendang pemimpin itu dalam memacu gerak kerja dakwah di pedalaman negeri berkenaan.

Perkongsian tersebut disiarkan pengasas RTMS, Nazri Aldusuni menerusi satu hantaran di Facebook, yang mengimbau semula sumbangan awal Allahyarham dan isterinya, Datin Seri Nor Asidah Alimuddin sehingga membolehkan pusat persinggahan pendakwah dan keluarga mualaf itu terbina serta berkembang sehingga hari ini.

Nazri Aldusuni
Nazri berkongsi sumbangan besar Allahyarham Bung Moktar menerusi hantaran di Facebook.

Nazri turut berkongsi detik menerima khabar mengenai keadaan kritikal Allahyarham pada malam Jumaat lalu sebelum berita pemergian beliau disahkan anaknya, Naim Moktar, sekitar pukul 1.45 pagi.

“Almarhum Bung Moktar sebenarnya tidak pernah saya kenali secara peribadi kerana saya bukan orang politik.

“Hanya perbahasan beliau di Dewan Rakyat melalui YouTube dan Facebook yang saya ikuti. Begitu juga, saya tidak pernah menghadiri mana-mana program beliau,” katanya.

Namun, hubungan mereka bertaut secara tidak langsung menerusi usaha dakwah yang bermula lebih satu dekad lalu.

Nazri menjelaskan, inisiatif menubuhkan RTMS bermula pada 2013 menerusi sebuah rumah usang di Kampung Lohan 2, di atas tanah milik bapa mentuanya.

Rumah hampir roboh itu kemudian diperbaiki dengan bantuan ahli keluarga bagi dijadikan tempat rehat lengkap untuk para pendakwah yang bertugas di kawasan pedalaman.

RTMS
Antara aktiviti yang dijalankan di Rumah Transit Mualaf Sabah sehingga ke hari ini.

Dalam tempoh awal pembinaan, beliau menerima panggilan daripada seorang individu di Kota Kinabalu yang memerlukan maklumat berkaitan mualaf untuk program korban.

Selepas pertemuan di Ranau, Nazri mencadangkan agar ibadah korban dilaksanakan di tapak RTMS bagi manfaat keluarga mualaf setempat.

“Namun saya tidak meletakkan harapan tinggi. Fokus saya hanyalah menyiapkan rumah persinggahan pendakwah.

“Beberapa hari kemudian, saya menerima panggilan sekali lagi memaklumkan sumbangan seekor kerbau untuk korban. Saya benar-benar terkejut kerana kosnya bukan sedikit.

“Saya tertanya-tanya siapa mereka yang sanggup mempercayai saya dan menyumbang tanpa banyak soal,” ujarnya.

Ia menjadi ibadah korban pertama yang dijalankan di RTMS.

Tidak lama selepas itu, rombongan sama kembali ke Ranau untuk membincangkan penggambaran dokumentari agama.

Ketika itulah Nazri dimaklumkan bahawa ketua rombongan tersebut ialah Datin Seri Nor Asidah, isteri Allahyarham Bung Moktar.

Rumah Transit Mualaf Sabah
Program mengaji Al-Quran turut diadakan di rumah berkenaan.

Menerusi pertemuan itu, bermulalah episod mereka menjelajah kampung di pedalaman bagi program yang dinamakan Jejak Mualaf Sabah, dibantu penyanyi dan pendakwah, Nazrey Johani yang menjadi pengantara kerana keakraban beliau dengan komuniti mualaf.

Sepanjang program berlangsung, Nazri menyaksikan sendiri keprihatinan Nor Asidah terhadap nasib saudara baharu itu sehingga beberapa kali tidak mampu menahan sebak.

“Dalam perjalanan pulang ke RTMS, beliau tiba-tiba meminta nombor akaun saya. Saya terdiam kerana ketika itu saya tidak menyimpannya, lalu saya abaikan.

“Setibanya di RTMS, beliau meminta lagi, dan saya berikan. Tidak lama kemudian, saya dimaklumkan sejumlah wang telah dimasukkan ke akaun saya. Saya hampir pitam antara percaya dan tidak. Apabila ditanya, Datin hanya berkata: ‘Buatlah apa-apa untuk membangunkan RTMS’,” katanya.

Nazri menegaskan, sumbangan pasangan itu adalah antara pemangkin awal kepada pembentukan RTMS sehingga mampu menjadi pusat dakwah penting pada hari ini.

“Saya bersaksi, Allahyarham Bung Moktar dan Datin Nor Asidah Alimuddin adalah antara penyumbang pembangunan RTMS,” katanya sambil menghadiahkan bacaan Al-Fatihah buat Allahyarham.

Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu meninggal dunia awal pagi Jumaat akibat jangkitan kuman pada paru-paru, jantung dan buah pinggang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button