Graduan pertahanan kunci hadapi ancaman masa depan – Agong
KUALA LUMPUR – Negara hanya mampu berdiri kukuh dalam menghadapi ancaman keselamatan masa depan sekiranya melahirkan graduan pertahanan yang berdisiplin, berilmu dan berjati diri tinggi, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Baginda bertitah, kejayaan akademik yang diraikan dalam Istiadat Konvokesyen Ke-15 Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) hari ini bukanlah noktah akhir, sebaliknya permulaan perjalanan untuk menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.
“Graduan merupakan aset strategik negara dan pencapaian mereka menjadi petunjuk kepada kejayaan atau kegagalan Malaysia pada masa hadapan.
“Yang lebih penting ialah bagaimana ilmu itu digunakan untuk kebaikan semua,” titah baginda sambil mengingatkan bahawa sejarah tamadun Islam membuktikan ilmu mampu mengangkat umat daripada kejahilan kepada cahaya kebenaran,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 UPNM di Pusat Dagangan Dunia (PWTC) di ibu negara, hari ini.
Pada masa sama, Baginda turut memetik pesanan Saidina Ali bin Abi Talib bahawa masa depan negara dapat dilihat melalui pemuda-pemudinya pada hari ini.
Baginda menegaskan, ilmu yang diperoleh di universiti adalah amanah yang perlu dikembalikan kepada masyarakat dan negara, bukan hanya untuk kemajuan diri sendiri.
Sultan Ibrahim turut menyeru graduan agar membina tamadun unggul melalui ilmu yang dimiliki, sekali gus mengalas peranan sebagai pemimpin muda yang berintegriti, berdisiplin dan berdedikasi dalam berkhidmat kepada negara.
Baginda mengingatkan agar graduan tidak sesekali mengecewakan harapan ibu bapa dan tidak terjebak dalam perkara yang boleh meruntuhkan nilai jati diri negara.
“Saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada para graduan, ibu bapa serta seluruh warga universiti atas kejayaan pada hari ini.
“Saya berdoa agar universiti ini terus maju jaya sebagai sebuah universiti pertahanan utama di rantau ini,” titahnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








