BERITA SEMASA

Lebih 1,000 kenderaan Malaysia tersadai akibat banjir di selatan Thailand

ALOR SETAR – Lebih 1,000 kenderaan milik rakyat Malaysia termasuk kereta dan motosikal berkuasa tinggi dilaporkan masih tersadai di selatan Thailand susulan banjir besar yang melanda wilayah itu pada 22 November lalu.

Dalam bencana tersebut, kira-kira 4,000 rakyat Malaysia dilaporkan terkandas di Hatyai sahaja dengan ribuan kenderaan turut terperangkap dan ada yang dipercayai hanyut dibawa arus sungai.

Usaha mengesan dan membawa pulang kenderaan sedang digerakkan pelbagai pihak namun kebanyakannya ditemukan dipenuhi selut tebal atau masih ditenggelami air.

Kenderaan Thailand
Seorang lelaki dirakam berhampiran sebuah kenderaan yang rosak dan terjejas akibat banjir di selatan Thailand. – Foto Internet

Kerja-kerja penundaan juga berdepan pelbagai cabaran kerana beberapa kawasan khususnya sekitar bandar Hatyai masih dilanda banjir dan tidak selamat dimasuki trak tunda.

Pengarah Urusan Gothai.my Sdn. Bhd., Mohd Syafiq Johari berkata, pihaknya ketika ini berusaha menyelamatkan 30 kenderaan pelanggan mereka di Hatyai, walaupun jumlah sebenar kenderaan rakyat Malaysia yang masih terperangkap mungkin jauh lebih tinggi.

“Kenderaan terbabit masih tenggelam di aras bawah tanah hotel dan kawasan itu masih digenangi air menyebabkan proses membawa keluarnya tertangguh hampir seminggu.

“Paras air masih setinggi hampir dua meter seperti ‘kolam’ yang menelan puluhan kenderaan,” katanya memetik laporan Metro Online.

Menurutnya, kebanyakan kenderaan yang hendak ditunda berada dalam keadaan terbalik, tersangkut atau tenggelam sepenuhnya sekali gus memerlukan peralatan khas dan kepakaran untuk operasi mengalihkan kenderaan tersebut.

“Yang paling sukar ialah kenderaan di bawah ‘basement’. Air masih belum dipam keluar dan kawasan terlalu berisiko.

“Kami perlu tunggu lampu hijau daripada pihak berkuasa tempatan sebelum kerja tunda dimulakan,” jelasnya lagi.

Mohd Syafiq berkata, pelanggan pakej premium Gotai.my berhak menerima perkhidmatan tunda kenderaan secara percuma keluar dari Thailand, satu kelebihan yang tidak banyak ditawarkan penyedia insurans lain.

Namun pelan itu tidak meliputi perlindungan bencana alam.

“Untuk tuntutan kerosakan akibat banjir, pemilik kenderaan perlu mempunyai insurans Malaysia yang ditambah baik dengan perlindungan bencana dan perluasan 101,” katanya.

Sepanjang tempoh banjir, syarikatnya menerima ratusan panggilan kecemasan daripada pelanggan yang panik terutama apabila bekalan elektrik terputus dan capaian internet terhad.

Dalam masa sama, syarikat itu turut memulangkan kira-kira RM20,000 wang insurans kepada pelanggan yang membatalkan perjalanan ke Thailand.

Ada yang memilih untuk menukar destinasi ke Krabi, Phuket atau Koh Samui manakala sebahagian lagi menangguhkan perjalanan sehingga keadaan pulih.

Jualan insurans mereka turut merosot sehingga 90 peratus ketika awal banjir namun kini menunjukkan pemulihan perlahan kepada penurunan sekitar 60 hingga 70 peratus.

Mohd Syafiq optimis bahawa industri pelancongan serta kemasukan pelancong Malaysia ke Thailand akan kembali normal dalam tempoh dua minggu jika cuaca terus cerah dan usaha pemulihan berjalan lancar.

Beliau menasihati rakyat Malaysia supaya memastikan perlindungan insurans kenderaan dan perjalanan benar-benar mencukupi sebelum memasuki Thailand terutama pada musim hujan.

“Kita tak boleh jangka cuaca sekarang. Lebih baik bersedia daripada menanggung kerugian besar,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button