Operasi cari anggota polis dipercayai lemas diteruskan
SEPANG – Anggota polis yang dikhuatiri lemas berhampiran Klinik Desa Giching, di sini malam tadi dikatakan sempat berpaut pada papan tanda jalan sebelum dihanyutkan air.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, perkara itu dimaklumkan saksi yang melihat kejadian itu.
Mangsa bagaimanapun dipercayai dihanyutkan arus kuat kemudiannya akibat kepenatan berpaut.
“Ketika kejadian, mangsa dipercayai mahu menyeberang laluan yang dinaiki air sebelum kereta dipandu terbabas ke dalam parit,” katanya hari ini.
Mangsa di kenalpasti sebagai Muhammad Rahimi Amirudin, 23, yang berasal dari Johor.
Norhizam menambah, siasatan awal mendapati, mangsa yang baru setahun bertugas di Balai Polis Nilai, Nilai, Negeri Sembilan dipercayai melalui lokasi kejadian untuk ke tempat kerja.
Mangsa sebelum itu dikatakan baru selesai melawat saudara di Kampung Giching di sini.
“Kami tidak dapat sahkan lagi sama ada mangsa lemas atau tidak sebab tiada petunjuk ditemui dan pencarian masih berjalan sehingga kini,” katanya.
Siasatan di lokasi kejadian turut menemui kad pengenalan mangsa, kasut, topi dan baju sejuk milik mangsa dalam kereta.
Operasi mencari mangsa kini diteruskan di sepanjang Sungai Batang Labu, di sini sehingga ke ladang solar Labu Lanjut dengan setakat ini, 60 anggota termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat KLIA, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sepang dan Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang terlibat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














